JOHOR BAHRU, 15 Mei 2023 – Sungguhpun Johor Bahru adalah pusat kegiatan ekonomi yang utama di selatan tanah air, namun majoriti Orang Melayu di Johor Bahru masih berpendapatan rendah.
Menurut aktivis masyarakat yang bergerak aktif di Johor Bahru, Hairy Mahmood jurang pendapatan warga Johor Bahru tidak seimbang kerana ada kumpulan yang berpendapatan terlalu tinggi, sederhana dan rendah.
“Walau Jb pusat ekonomi, tapi dari segi tahap pendapatan warga Johor Bahru, tak seimbang. Ada perigkat terlalu tinggi pendapatannya, ada yang sederhana dan ada yang terlalu rendah.
“Kalau kita lihat di peringkat rendah, majoritinya masyarakat Melayu, itu melibatkan masalah ekonomi. Katanya.
Menurut Hairy lagi, rentetan dari masalah itu, isu pemilikan rumah juga menjadi masalah utama bagi kumpulan ini. Majoriti orang Melayu yang berpendapatan rendah ini masih lagi tinggal di rumah-rumah flat kerajaan yang kadar sewanya RM 150 dan mereka tinggal dalam keadaan daif.
“Isu yang melibatkan pemilikan rumah, mereka masih tinggal di flat-flat kerajaan yang sewanya RM 150 dan ia berada dalam keadaan daif. Lif rosak yang tinggal di tingkat 12, bermacam masalah, mereka ini penghuni yang juga pengundi-pengundi di kawasan Johor Bahru.
Hairy juga berpendapat bahawa masalah pemilikan rumah ini tak akan selesai kerana rumah-rumah yang dibina berada dalam kelas RM 500 ribu ke atas.
“Rumah-rumah yang dibina di sekitar Jb kelasnya RM 500 ribu ke atas, sedangkan kemampuan masyarakat Jb, lebih-lebih lagi orang Melayu yang berpendapatan rendah hanya mampu untuk memiliki rumah pada kadar RM 250 ribu ke bawah.
“Tapi apa yang dibangunkan sekarang ni dalam radius 10 km kawasan Jb, adalah rumah yang harga tak mampu dimiliki oleh orang melayu. – malayadaily.com