TERKINI

Penganjuran LIMA ’23 Semakin Baik – Tun Dr Mahathir

Foto Utusan Malaysia

LANGKAW, 29 Mei 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) semakin baik saban tahun sejak edisi kali pertama diadakan pada tahun 1991.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat melalui penambah baikan pameran dan persembahan pasukan yang terlibat dalam kedua-dua sektor iaitu aeroangkasa dan maritim.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengharapkan penganjuran pameran dwi tahunan itu dapat diteruskan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini pada edisi-edisi akan datang.

“Semakin lama (LIMA diadakan) semakin baik, (terutamanya) pameran dan tambahan yang lain dan saya percaya LIMA akan tumbuh (berkembang) di masa hadapan, saya juga berharap kerajaan Malaysia akan kekalkan LIMA,” katanya seperti dipetik laporan Utusan Malaysia, semalam.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir memaklumkan idea dan objektif utama penganjuran LIMA ketika beliau sebagai Perdana Menteri keempat adalah untuk mengangkat industri pelancongan negara.

“(Sebelum edisi pertama 1991) saya baca berkenaan Singapura, mereka ada pertunjukan udara dua tahun sekali, saya dapati persembahan ini amat menarik dan akan tolong industri pelancongan.

“Pada ketika itu, saya ingat (sebaiknya) kalau (pertunjukan sama) ada di Malaysia, (tetapi) jangan sama tahun dengan Singapura.

“Pameran kita awalnya kecil sahaja tetapi sambutan baik, ramai datang dan LIMA menjadi daya tarikan kepada pelancongan dan promosi bagi sektor aeroangkasa dan maritim di Malaysia,” katanya.

Facebook
Twitter
WhatsApp