KUALA LUMPUR, 26 Sept 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada masa depan berhubung pandemik baharu termasuk ancaman penyakit X dalam negara.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberikan amaran kepada negara-negara sekiranya terdapat ancaman berkenaan.
“Ia dinamakan X kerana masih belum diketahui penyakit yang sebenar, namun kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia hadapi kemungkinan pandemik ini.
“Semasa saya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, isu penyakit X ini tidak dibincangkan antara Menteri Kesihatan lain.
“Namun, di peringkat Malaysia, KKM sentiasa membuat pemantauan jika ada muncul penyakit-penyakit baharu seperti yang diperkatakan,”katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Ahad, pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.
Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO dan dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa serta menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020. – Sinar Harian