KUALA LUMPUR, 29 Mac 2024 – Pengguna lebuh raya membabitkan kenderaan persendirian (Kelas 1) diberi kemudahan tol percuma selama dua hari iaitu 8 dan 9 April bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bersetuju dengan perkara itu bagi meraikan rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.
“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana Kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.
“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan pemberian tol percuma itu, jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya.
“Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut memperkenalkan aplikasi aduan MYJalan berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’’, yang menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan KKR.
Aduan-aduan tersebut akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan segera, katanya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik.
Katanya, bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan Smart Lane semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari yang lalu.
Beliau berkata, terdapat penambahbaikan dalam pelaksanaan lorong Smart Lane iaitu:
- Pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane di setiap sela 500 meter;
- Pemasangan papan tanda amaran 200 meter sebelum Smart Lane bermula dan berakhir;
- Pemasangan lampu indikasi smart lane (blinking light) setiap 1 km;
- Paparan Mesej Elektronik/Variable Message System (VMS) mudah alih untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/ penamatan operasi Smart Lane.
Alexander berkata, LLM dan syarikat konsesi akan melaksanakan advokasi bersama pengguna lebuh raya menerusi perkongsian video dan infografik bagi memberi kesedaran berkenaan Smart Lane dan terus memantau keberkesanan tindakan penambahbaikan itu. – Awani