TERKINI

Perbendaharaan AS: Malaysia tidak senarai Hamas sebagai entiti pengganas – Pejuang

Mohamad Rafique Rashid (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 10 Mei 24 – Ketua Penerangan parti Pejuang, Mohamad Rafique Rashid mempersoalkan tindakan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dalam menentukan peranan Malaysia berhubung isu Palestin.

Rafique dalam satu kenyataan di laman facebook berkata, adalah amat dangkal dan tidak masuk akal untuk AS kini bertindak seolah-olah seperti abang besar mengarahkan rakyat dan kerajaan Malaysia bagaimana dan kepada siapa saluran bantuan isu Palestin ini mesti dilakukan.

“Hamas bukan kumpulan militan atau pengganas. Malaysia tidak meletakkan Hamas tersenarai sebagai pengganas atau teroris. Kalau Hamas teroris dalam buku atau kitab AS, kita pula tidak harus ikut saja macam lembu dicucuk hidungya.

“Begitu juga kalau pada suatu hari nanti Hamas dilabel teroris oleh sekutu-sekutu AS , Malaysia juga tidak harus buta tuli ikuti. Kerana kita di Malaysia ada pendirian yang jelas dalam isu konflik di Palestin .

Dalam kenyataan yang sama, Rafique mengingatkan adakah pernah Malaysia menghalang dan menyekat AS atau mana-mana pelobi-pelobi senjata dari membantu Israel.

“Adakah kita pernah halang pelobi-pelobi senjata menderma kepada Israel?

“Adakah kita pernah kenakan sekatan kepada rakyat AS untuk hantar wang kepada IDF atau tentera Israel?

“Maka siapa AS dan Perbendaharaan AS untuk halang dan sekat rakyat Malaysia dari bantu Hamas? tegas Rafique.

Berkaitan konflik Israel-Palestin, Rafique berkata bahawa Malaysia tidak pernah iktiraf negara haram Israel malah Malaysia secara terbuka mengkritik Israel dan sekutu-sekutunya.

“Kita tidak pernah iktiraf rejim Zionis Israel.

“Kita juga kini secara terbuka mengkritik sekutu-sekutu Israel seperti AS, Great Britain dan Kesatuan Eropah. Katanya.

Rafique kembali menegaskan bahawa Malaysia harus terus kekal komited dalam isu ini.

“Hamas adalah parti yang menang secara sah dan adil melalui pilihan raya yang demokratik di Gaza.

“Hamas menuntut pembebasan dan kemerdekaan. Hamas juga mempunyai sayap ketenteraannya iaitu Briged Al- Qassam dan peperangan serta perjuangan mempertahan tanah mereka tidak salah. Tiada apa yang salah dengan Hamas. Ujarnya.

Baru-baru ini, pegawai kanan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengingatkan Malaysia agar semua bantuan kemanusiaan di Gaza sepatutnya disalurkan menerusi pertubuhan sah dan mempunyai reputasi.

Sebelum itu, memetik laporan media Singapura, Washington sedang berusaha menghalang Malaysia daripada menjadi tempat di mana Hamas boleh mengumpul dana dan memindahkan wang, kata seorang pegawai kanan Perbendaharaan Amerika Syarikat. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp