TERKINI

PERKASA Kecam Kerajaan Gagal Tangani Isu ART Menjelang Tempoh Matang

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam keras kegagalan kerajaan menangani isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang bakal mencapai tempoh matang, dengan mendakwa sehingga kini tiada penjelasan menyeluruh dan telus diberikan kepada rakyat walaupun implikasinya besar terhadap kewangan negara dan kepentingan awam.

Naib Presiden PERKASA, Irwan Fahmi Ideris, berkata isu ART bukan sekadar perkara teknikal, sebaliknya melibatkan perjanjian berat sebelah yang memberi kesan langsung kepada kedaulatan institusi dan beban kewangan jangka panjang negara.

Menurut beliau, kerajaan jelas gagal merancang pelan pasca-matang ART apabila tidak memaklumkan sama ada komitmen tersebut akan dilunaskan sepenuhnya, distruktur semula atau berpotensi mencetuskan beban kewangan baharu kepada negara. Kegagalan itu, katanya, mencerminkan kelemahan perancangan strategik kerajaan.

PERKASA turut mempersoalkan tahap ketelusan kerajaan apabila sehingga kini tidak mendedahkan nilai sebenar ART yang bakal matang, risiko fiskal jangka pendek dan panjang serta implikasi terhadap cukai, subsidi dan kos sara hidup rakyat. Lebih membimbangkan, kata Irwan Fahmi, tidak jelas sama ada isu itu telah dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu walaupun melibatkan kepentingan strategik negara.

Mengulas pelantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu, Datuk Seri Johori, PERKASA berkata harapan rakyat kini tertumpu kepada beliau susulan kenyataan awal untuk memperbetulkan klausa perjanjian ART yang disifatkan berat sebelah. Namun setakat ini, pertubuhan itu mendakwa belum ada tindakan konkrit yang menunjukkan keseriusan kerajaan.

Irwan Fahmi memberi amaran kegagalan mengurus isu ART dengan berkesan berisiko memindahkan beban kepada rakyat melalui kenaikan cukai, pengurangan subsidi dan peningkatan kos sara hidup, satu senario yang disifatkan tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, PERKASA menuntut kerajaan segera membentangkan pelan pasca-matang ART secara terbuka, mendedahkan semua fakta dan angka sebenar, menjelaskan peranan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu tersebut serta memastikan perjanjian ART diperbetulkan secara adil dan telus. PERKASA turut memberi amaran tidak akan berdiam diri sekiranya kerajaan terus berdolak-dalik dan gagal menghormati institusi negara. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp