KUALA LUMPUR, 8 Jan 2025 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempertikaikan keputusan kerajaan menyediakan peruntukan tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sambil menegaskan bahawa sekolah kerajaan lain, terutamanya di kawasan pendalaman, masih memerlukan bantuan membaik pulih infrastruktur.
Dalam kenyataan media, Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor, menyatakan bahawa statistik menunjukkan sekolah kebangsaan (SK) lebih banyak jumlahnya berbanding SJKC dan SJKT, justeru perhatian peruntukan seharusnya lebih kepada sekolah kerajaan yang daif.
“Adalah tidak wajar kerajaan memberi keutamaan peruntukan kepada SJKC dan SJKT, sedangkan SK Agama dan sekolah di kawasan pedalaman masih bergelut dengan infrastruktur usang. Janganlah kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan,” kata Azrol.
Beliau juga menegaskan bahawa sesetengah SJKC menerima dana daripada syarikat yang dikaitkan dengan industri minuman keras, dan meminta kerajaan menilai semula semua peruntukan bagi memastikan keadilan dalam pengagihan dana pendidikan.
PERKASA turut menantikan pengumuman jumlah peruntukan untuk SK Agama bagi tahun 2026 dan berharap kerajaan mengambil keputusan lebih rasional pada masa akan datang.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz.
Menurut beliau, kerajaan meningkatkan peruntukan kepada SJKC sebanyak RM80 juta, berbanding RM50 juta sebelum ini, manakala SJKT menerima RM50 juta, susulan masih terdapat sekolah yang berdepan isu kemudahan.- malayadaily