TERKINI

Persatuan Pengguna Pulau Pinang Rayu PM Batal Projek PSI

Projek PSI – foto malayadaily.com

GEORGETOWN, 9 Mei 2023 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membatalkan projek Selatan Pulau Pinang (PSI) kerana ia memberi impak negatif kepada komuniti nelayan terlibat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, projek mega bernilai RM46 bilion itu hanya akan merosakkan alam sekitar, keterjaminan makanan, iklim dan demografi Pulau Pinang.

Tegasnya, projek PSI juga akan mengakibatkan kemusnahan kepada kawasan perikanan penting di Pulau Pinang, sekali gus menjejaskan pendapatan lebih 3,000 nelayan dan keluarga mereka.

“Kami memohon agar Perdana Menteri membatalkan projek PSI ini kerana selain ia merupakan satu pembaziran, ia akan memberi impak buruk kepada alam sekitar. Kerosakkan pada alam sekitar akibat daripada projek ini tidak akan dapat dipulihkan sekali gus menjejaskan komuniti nelayan.

“Kami mengalu-alukan kenyataan Anwar baru-baru ini yang menyatakan kebimbangannya terhadap projek tersebut. Jika ia diteruskan juga, ia mengakibatkan kerosakkan teruk kepada alam sekitar yang bercanggah dengan rangka kerja dasar Madani iaitu salah satu tonggaknya ialah menggalakkan pembangunan mampan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP di sini.

Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang perlu menjelaskan alasan kerana masih mahu meneruskan projek penambakan tersebut walau pun mengetahui kesan ekologi dan sosialnya yang sangat teruk.

“Pada mulanya, kerajaan negeri pimpinan DAP memberi justifikasi bahawa projek penambakan mega ini perlu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memandangkan kerajaan persekutuan ketika itu yang dikuasai oleh Barisan Nasional tidak menyokongnya.

“Bagaimanapun, keadaan ketika ini telah berubah selepas BN merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang bersedia untuk menyediakan dana diperlukan bagi membiayai penambahbaikan sistem pengangkutan sedia ada untuk mengatasi kesesakan lalu lintas,” katanya.

“Oleh itu, CAP merayu kepada Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan supaya tidak menyokong Projek PSI. Anggaran kos bagi penambakan ialah RM16 bilion dan ini boleh digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin dan terpinggir, menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan yang lebih baik serta meningkatkan lalu lintas,” katanya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp