TERKINI

Persatuan Raban Anak Sarawak Johor Gesa Kerajaan Campur Tangan Isu Tiket Penerbangan Mahal

Gambar hiasan – foto Sabah Post

JOHOR BAHRU, 28 April 2023 – Komuniti Sarawak dan Sabah yang menetap di Semenanjung termasuk di negeri ini berharap kerajaan campur tangan dalam mengawal peningkatan harga tiket penerbangan ke negeri tersebut.

Menurut mereka, peningkatan harga yang berlaku terlalu mahal sehingga lima kali ganda berbanding waktu biasa.

Pengerusi Persatuan Raban Anak Sarawak Johor, Muhammad Danish Sangkan Jantom, 51, berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak dahulu, namun hingga kini tiada penyelesaian.

“Majoriti rakyat Sarawak dan Sabah yang berhijrah ke Semenanjung adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan, selain mengikuti ahli keluarga mereka. Kebanyakan mereka juga bukan golongan senang dan peningkatan harga yang keterlaluan amat menyukarkan mereka untuk pulang menyambut perayaan di kampung halaman masing-masing.

“Disebabkan itu, ada antara mereka tidak pulang beraya selama beberapa tahun, kerana tak mampu beli tiket penerba­ngan, apatah lagi jika sudah berkeluarga di sini,” katanya.

Muhammad Danish yang sudah berhijrah ke Semenanjung sejak 1996 berkata, tawaran diskaun dibuat syarikat penerba­ngan pula terhad dan biasanya dinikmati mereka yang me­netap di Kuala Lumpur sahaja.

Beliau menganggarkan lebih 100,000 rakyat Sarawak berada di Semenanjung, khususnya Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu dan Perak.

Perkara sama turut disuarakan Noorasiqin Mohd. Ali Ajing, 33, yang menyimpan wang beberapa bulan semata-mata untuk pulang ke kampung halaman di Betong, Sarawak.

“Aidilfitri ini, kami menyambutnya di sini, kampung halaman suami adalah di Batu Pahat. Jadi, kami sekeluarga akan pulang ke kampung saya di Sarawak untuk sambutan Hari Gawai nanti.

“Tiketnya telah saya beli pada Januari lalu dan ketika itu har­ganya RM270 sehala. Jadi untuk saya lima sekeluarga, kira-kira RM3,000 juga untuk pergi dan balik.

“Walaupun harganya mahal, tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain kerana mahu pulang bertemu dengan ahli keluarga dan saudara-mara di sana. Jika pulang pada hari biasa, sukar untuk bertemu dengan semua­nya,” kata ibu kepada tiga orang anak itu. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp