TERKINI

Petisyen Nik Elin: Sudah sampai masa PMX buktikan perjuangan Islam beliau – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Feb 2024 – Pemimpin Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan bahawa kedudukan kerajaan hari ini cukup mudah untuk meminda perlembagaan persekutuan berkaitan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 kerana kerajaan Madani mempunyai sokongan dua pertiga di Parlimen.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin berkata sudah sampai masanya Perdana Menteri membuktikan ketulenan perjuangan beliau mengenai Islam.

“PMX tidak pernah lekang di mulutnya bercakap mengenai firman serta hadis setiap hari dan beliau juga adalah salah seorang bekas pemimpin ABIM pada suatu masa dahulu amat proaktif memperjuangkan isu-isu yang berkaitan agama Islam.

“Sudah sampai masanya PMX membuktikan ketulenan perjuangan beliau di bidang agama Islam yang sepatutnya kini menjadi Perdana Menteri mempunyai seribu satu kuasa untuk memperkasakan syiar Islam di tanahair kita. Katanya.

Khairuddin juga pada masa yang sama menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS YB Ahmad Fadhli Shaari agar kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat menyegerakan pindaan perlembagaan persekutuan.

Menurut Khairuddin, pindaan perlembagaan persekutuan tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DUN bagi membuat keputusan berkaitan jenayah terutama mengenai syariah.

“Saya amat bersetuju dengan candangan Ketua Penerangan PAS YB Ahmad Fadhli Shaari agar kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat menyegerakan pindaan perlembagaan persekutuan

“Sepatutnya DUN diberikan kuasa penuh untuk membuat keputusan berkaitan kesalahan jenayah khususnya mengenai syariah bersesuaian dengan latarbelakang sejarah serta keperluan di negeri-negeri tersebut. Ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menyegerakan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada DUN membuat keputusan berkaitan jenayah terutama berkaitan syariah.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dijangka turut memberi kesan di seluruh negara.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah membuka jalan memartabatkan perundangan Syariah agar ditempatkan pada kedudukan yang sebenar.

Pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pelindung agama Islam di negeri-negeri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp