TERKINI

Petisyen Nik Elin: Telahan saya 10 tahun lalu, betul – Bekas Ketua Hakim

Tun Abdul Hamid Mohamad – foto NST

KUALA LUMPUR, 14 Feb 2024 – Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) telah dibangkitkan sepuluh tahun dahulu oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Abdul Hamid Mohamad.

Menurut beliau, sebahagian daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) tidak sah dan batal kerana ia mewujudkan kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Dalam satu rencana yang disiarkan oleh Bebasnews, hari ini, Tun Abdul Hamid berkata undang-undang jenayah diletak di bawah bidang kuasa Persekutuan di mana Perlembagaan tidak mentakrifkan “criminal law”.

“Biar apa pun, undang-undang jenayah yang wujud pada masa Perlembagaan digubal seperti Penal Code, semestinyalah undang-undang jenayah.

“Kata-kata “undang-undang jenayah Islam” (Islamic criminal law) tidak langsung digunakan dalam Perlembagaan. Apa yang diperuntukkan ialah:

“…. creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of that religion, except in regard to matters included in the Federal List;”
(“……pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;”)

Menurut Tun Abdul Hamid, Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya boleh membuat undang-undang jenayah jika ia memenuhi ketiga-tiga syarat iaitu kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam, terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai.

Tegas beliau, jika mahukan DUN membuatnya, Kerajaan Persekutuan perlu menggubal rang undang-undang untuk diluluskan oleh Parlimen bagi meminda Perlembagaan memberi kuasa kepada DUN untuk membuat undang-undang seperti yang dikehendaki.

“Selepas itu dapatkan pula Kerajaan Negeri untuk menggubal rang “undang-undang jenayah Islam” seperti yang dikehendaki dan membentangnya di DUN untuk diluluskan.

“Setelah undang-undang itu bekuatkuasa, Hakim mahkamah syariah akan melaksanakannya kerana itulah undang-undang berkuatkuasa. Ujarnya.

Yang Arif juga mengingatkan bahawa mengatakan bahawa “undang-undang jenayah” terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan, manakala “undang-undang jenayah Islam” terletak di bawah bidang kuasa Negeri, sebagai tidak betul.

“Perlembagaan hanya membenarkan DUN membuat undang-undang bagi mengadakan kesalahan-kesalahan jenayah tertakluk kepada tiga sekatan yang disebut itu dan sekatan dalam Akta Mahkamah Syari’ah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Meminda Akta 355 seperti yang cuba dilakukan oleh PAS sebelum Kerajaan BN jatuh kepada PH, jika berjaya dilakukan sekalipun, tidak akan menyelesaikan masalah selagi Perlembagaan tidak dipinda seperti yang disebut di atas dan, selepas itu, membuat semula undang-undang yang dikehendaki itu.

“Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah (II) (1993) 2015 (Kelantan) setakat yang ia memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang bercanggah dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan Akta 355 itu adalah tidak sah.

“Dalam penulisan dan ucapan saya bermula pada 7 Januari 2014, saya mengatakan bahawa sebahagian daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) tidak sah dan batal kerana ia mewujudkan kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan. Ini sepuluh tahun dahulu. Ujarnya.

Beliau turut memetik ucapannya pada 1 April 2015;

“Saya sedar ucapan saya ini mungkin mengecewakan sesetengah orang. Tetapi, jika hendak mendengar pandangan jujur saya mengenai hakikat sebenar dari segi Perlembagaan dan undang-undang, itulah dia. Memetik kata-kata Imam Abu Hanifah, “Ini hanyalah pandangan saya…..”

Saya percaya soal sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah (II) (1993) 2015 itu sah atau tidak di segi Perlembagaan akan pergi ke mahkamah juga. Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa memutuskannya adalah mahkamah sivil sebab itu adalah isu keperlembagaan. Saya ingin melihat apa keputusan Mahkamah Persekutuan mengenainya.”

“Hari ini, sepuluh tahun kemudian, walaupun saya tidak boleh bangun lagi, saya masih dapat mengetahui dan memahami bahawa telahan saya itu adalah betul.

“Mahkamah Persekutuan telah memutuskan 18 peruntukan enakmen itu tak sah dan batal kerana “intipati peruntukan-peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah Senarai Pesekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya”.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan Kelantan.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp