TERKINI

PM jangan campuri urusan mahkamah – Peguam

Rafique Rashid (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 4 Mei 24 – Peguam Rafique Rashid menempelak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran kenyataannya yang mahu menyumbat pemfitnah ke penjara, sebagai tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan perundangan mahkamah.

Dalam satu sidang media sebelum ini, Rafique yang juga peguambela kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang kini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, berkata, bahawa kenyataan Anwar tersebut sebagai cuba mencampuri urusan mahkamah.

“Kepada Anwar Ibrahim dan juga kepada kerajaan Malaysia, hormatilah ‘seperation of power’ pengasingan kuasa di dalam perlembagaan.

“Negara kita ini mudah, ada kerajaan atau ada eksekutif, ada parlimen bidang kuasa membuat undang-undang dan akhirnya ada mahkamah dan mahkamah ini menjadi check in balance antara kerajaan dengan parlimen, parlimen dengan kerajaan, kerajaan dengan rakyat, rakyat dengan parlimen dan sebagainya. Ujar beliau.

Tambah Rafique, adalah amat tidak wajar dan salah bagi seorang Perdana Menteri untuk menyatakan akan menyumbat sesiapa ke dalam penjara kerana tugas untuk menjatuhkan hukuman hanyalah pada sistem keadilan negara iaitu mahkamah yang mulia.

“So kepada Anwar Ibrahim, berhentilah, ini bukannya negara milik kamu secara total, negara ini milik rakyat ada demokrasi ada perlembagaan, sila ikut perlembagaan, jangan cuba mencampuri dan menyatakan kena sumbat ke dalam jel, tugas untuk menjatuhkan hukuman adalah pada mahkamah. Tegas Rafique.

Pada 1 Mei, Anwar Ibrahim dalam satu ucapan berkata mereka yang memfitnah konon kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor, seharusnya disumbat ke dalam penjara, memetik laporan FMT.

“Jadi (tohmahan) ini dari mana? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sebenarnya boleh ganti bilik-bilik saya di (penjara) Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp