TERKINI

PN dicadang pertimbang penyertaan rakan pembangkang – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 20 Jan 2025 – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional (MN), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencadangkan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan penyertaan semua parti-parti politik pembangkang untuk menyertai PN sebagai rakan komponen.

Ketika bercakap dalam sesi wawancara bersama malayadaily baru-baru ini, Khairuddin berkata, PN harus mempertimbangkan untuk membuka pintu lebih luas untuk mendapatkan keseluruhan parti parti politik Melayu, NGO-NGO Melayu dan tokoh-tokoh Melayu untuk diberi peluang menganggotai PN.

“Usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin ini cukup baik, cuma pada pandangan peribadi saya sekiranya boleh Perikatan Nasional kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional harus membuat satu timbangan untuk membuka pintu secara lebih luas untuk mendapatkan keseluruhan parti-parti politik Melayu yang kecil-kecilan, NGO-NGO Melayu, individu-individu Melayu yang ternama untuk diberi peluang anggotai Perikatan Nasional, untuk sama-sama berjuang dengan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional di bawah platform ini.

“Ini cukup penting kerana pada hari ini keseluruhan orang Melayu khususnya mereka nak melihat perkara ini berlaku. Ujarnya.

Khairuddin juga berkata, sekiranya PN mampu menunjukkan satu konsep payung yang besar, yang boleh memayungi orang Melayu dalam skala besar, mesej tersebut akan mudah disampaikan kepada akar umbi.

“Mesej ini sampai kepada akar umbi, keseluruhan orang Melayu akan memberi sokongan padu kepada Perikatan Nasional. Katanya.

Tambah beliau, sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan PN dapat menunjukkan kepada orang Melayu bahawa PN boleh jadi satu payung yang besar kepada keseluruhan orang Melayu, sokongan orang Melayu akan lebih padu.

“Percayalah, pada pilihan raya yang ke-16 nanti saya amat yakin sekurang kurangnya Perikatan Nasional akan memenangi hati nurani pengundi pengundi Melayu sebanyak lebih kurang 90%. Ujarnya.

Untuk rekod, PN ketika ini dianggotai oleh beberapa parti utama iaitu BERSATU, PAS dan Gerakan. Selain daripada itu, terbaru, parti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) telah diterima sebagai rakan gabungan dalam PN.

Namun begitu, parti-parti yang lebih kecil seperti Pejuang, Putra, Berjasa termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti Muafakat Nasional, bukan rakan komponen PN sungguhpun garis politik mereka, tidak jauh berbeza. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp