TERKINI

Presiden PUTRA Dakwa Anwar Tunduk Tekanan Politik

KUALA LUMPUR, 18 Dis— Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan rombakan Kabinet terbaru sebagai “Kabinet Bendera Putih”, mendakwa ia bukan rombakan pentadbiran, sebaliknya penyerahan kuasa terbuka demi mengekalkan kedudukan Perdana Menteri.

Presiden PUTRA, Dato’ Ibrahim Ali, dalam satu kenyataan keras mendakwa rombakan itu berlaku bukan kerana krisis nasional atau keperluan mendesak, tetapi akibat tekanan dan ugutan politik, khususnya melibatkan DAP.

“Ini bukan rombakan pentadbiran. Ini penyerahan kuasa secara terbuka. Persoalan sebenar bukan siapa yang dilantik, tetapi siapa yang memberi arahan dan siapa yang tunduk,” tegas beliau.

Menurut Ibrahim, perubahan besar melibatkan kementerian strategik bandar dan wilayah membuktikan ugutan politik telah dijadikan “manual rasmi” pembentukan Kabinet. Beliau mendakwa kementerian yang mengawal Kuala Lumpur, Putrajaya dan kerajaan tempatan disusun semula bagi memenuhi tuntutan politik, bukan kepentingan rakyat.

Dalam masa sama, Ibrahim mengkritik sikap membisu UMNO, yang menurutnya gagal mempertahankan kepentingan Melayu walaupun kementerian berkait ekonomi rakyat bawahan, perumahan dan wilayah berpindah tangan.

“Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan. Diam ialah persetujuan pengecut,” katanya.

Ibrahim menegaskan, apabila sebuah parti memiliki kuasa veto secara senyap terhadap Kabinet, Perdana Menteri tidak lagi memimpin negara, sebaliknya sekadar mengurus tekanan politik.

“Negara yang ditadbir dengan rasa takut akan sentiasa menggadaikan masa depan untuk menyelamatkan hari ini,” katanya.

PUTRA memberi amaran bahawa orang Melayu sedang memerhati dan mengingati setiap keputusan, sambil menegaskan sejarah politik negara tidak pernah memihak kepada pemimpin yang mengekalkan kuasa dengan menjual prinsip. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp