TERKINI

Presiden UMNO Tolak PAS, pilih DAP, tindakan ‘sesat’, kata Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 9 Julai 24 – Orang kuat Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berpendapat permusuhan Presiden UMNO dengan PAS dan memilih DAP sebagai rakan adalah tindakan yang ‘sesat’.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin mengulas laporan media mengenai keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ‘Tiada kerjasama UMNO selagi Hadi Awang Presiden Pas’, berkata, kenyataan Tun Mahathir mengenai perjuangan UMNO telah ‘sesat’ adalah benar.

“Betul dan tepat sekali kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO pada hari ini sudah ‘sesat’ serta tersimpang jauh dari tujuan penubuhan UMNO pada tahun 1946 dahulu.

“Agama Islam mengajar kita bermaaf-maafan sesama ummah sekiranya ada kesilapan sesama kita dan ajaran agama kita juga senantiasa menyuruh umat Islam terus berpegang pada hubungan silaturrahim secara berkekalan. Katanya.

Menurut Khairuddin, beliau tidak merasa hairan dengan pegangan serta aqidah agama Zahid Hamidi untuk terus bermusuh dengan PAS tetapi cuba berdamping secara lebih rapat dengan DAP.

“Inilah pendirian Presiden parti UMNO masakini yang lebih pentingkan hubungan dengan DAP untuk berpaut pada kuasa bagi menyelamatkan diri beliau dari berbaik-baik dengan tokoh agama seperti Presiden PAS.

“UMNO sudah ‘mabuk bercinta’ dengan DAP sampai ketahap akal fikiran kita yang waras pun tidak boleh memahaminya.

“Kalau ini pun keseluruhan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli UMNO masih ‘buta’ saya tidak tahu lagi hendak cakap apa? Tegas beliau.

Tambah Khairuddin, walau bagaimanapun, keputusan itu juga akan memudahkan pihak pembangkang untuk menghadapi UMNO dan DAP pada pilihan raya yang akan datang.

“Namun, apa pun Zahid Hamidi boleh terus ‘berpeluk’ serta ‘tidur sebantal’ dengan DAP agar kerja kita semua senang untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang kelak.

“Keseluruhan orang-orang Melayu kena buka mata seluas-luasnya melihat prinsip perjuangan UMNO yang semakin akrab dengan DAP pada hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Presiden parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Abdul Hadi tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

“Saya pernah berbincang empat mata dengan Abdul Hadi. Hari ini depan-depan setuju. Namun, keesokannya dia tukar. Setuju-setuju kemudian di belakang dia tukar kembali. PAS ini berbohong dari dahulu sampai sekarang.

“Selagi orang itu jadi Presiden, jangan harap kita bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam itu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar, semalam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp