TERKINI

PRK : PH Letak Suhaizan, Nazri calon Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

Suhaizan (kiri), Nazri (kanan) – Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2023 – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Mohamad Sabu mengumukan perkara tersebut dalam satu kenyataan media, hari ini.

“Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada jawatankuasa ini, saya dengan ini mengumumkan Suhaizan dan Nazri akan bertanding mewakili Amanah dan PH serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Insya-ALLAH calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos 2023 nanti di DUN Simpang Jeram, Johor Darul Takzim,” jelasnya.

Jawatankuasa yang bermesyuarat pada 17 Ogos dianggotai oleh kepimpinan parti Amanah iaitu Naib Presiden, Adly Zahari; Setiausaha Agung, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Pemuda, Hasbie Muda dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Manakala Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Dun Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang pengundi tidak hadir luar negara.

DPPR bagi kedua-dua PRK itu akan mula dijual pada 21 Ogos ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp