TERKINI

PRK Sungai Bakap: Kerajaan Perpaduan letak calon PKR

Gambar hiasan – malayadaily.com

GEORGE TOWN, 5 Jun 24 – Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan menamakan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan bersatu hati untuk memberi laluan kepada PKR berikutan kerusi berkenaan pernah ditandingi calon daripada parti tersebut dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Wisma DAP, di sini pada Isnin.

“Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan Perpaduan memutuskan akan menghantar seorang wakil yang akan bertanding iaitu wakil daripada PKR. Keputusan itu dibuat atas semangat parti yang bertanding di kerusi itu sebelum ini diberi keutamaan untuk bertanding semula.

Mesyuarat khas Kerajaan Perpaduan yang dihadiri oleh wakil parti bagi membincangkan PRK Sungai Bakap.

“PKR sedia untuk menyahut mandat daripada kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk memilih seorang calon bagi PRK Sungai Bakap. Kita akan masuk pertandingan ini di atas semangat kebersamaan dan atas semangat Perpaduan yang sudah terjalin dalam PRU dan PRN di Pulau Pinang tahun lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, di atas semangat yang sama, Kerajaan Perpaduan akan cuba untuk memenangi kembali kerusi Sungai Bakap yang pernah dimenangi sebelum ini.

“Kerusi ini sudah tiga penggal diwakili calon daripada PKR.

“Oleh demikian, ini adalah PRK pertama kita di bawah Kerajaan Perpaduan, maka semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan akan memberi sokongan dan menyumbangkan kekuatan yang ada di dalam PRK kali ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan.

“Beliau akan dibantu oleh empat orang timbalan pengarah PRK yang akan dinamakan kemudian bagi mewakili parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PKR, Amanah, DAP dan BN.

“Kita juga akan membincangkan strategi gerak kerja penubuhan jawatankuasa berkaitan dan isu yang perlu diberi perhatian dari sekarang sehingga penamaan calon dan tempoh berkempen,” jelas beliau lagi.

Kon Yeow menambah, semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan akan bertanding secara ‘all out’ untuk membawa mesej Perpaduan kepada rakyat.

“Tiada pertikaian daripada parti lain kerana mengambil semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi peluang untuk bertanding semula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar berkata, lima calon yang diumumkan sebelum ini merupakan calon yang boleh menang dan mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan berkenaan.

“Dalam lima senarai calon itu, ada wanita dan ada calon lelaki. Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Bagaimanapun, yang penting, calon yang akan dipilih nanti merupakan calon ‘winable’ dan mempunyai pengaruh yang amat kuat selain yang banyak menyumbang di kawasan Dun Sungai Bakap,” katanya.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, BN Pulau Pinang telah bersiap sedia untuk turun padang di lapan pusat daerah mengundi bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan untuk menang dalam PRK itu nanti.

“Siapa sahaja wakil Kerajaan Perpaduan, UMNO akan turun padang untuk menentukan kemenangan wakil kita,” tambahnya.

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil.

Kata beliau, jentera Amanah bersiap sedia untuk menyokong kempen calon PKR dalam PRK Sungai Bakap.

Kerusi Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp