TERKINI

PRN 2023 : Azam Baki Tak Sewajarnya Membuat Kenyataan Demikian – Haniff Khatri

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2023 – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak sewajarnya membuat suatu kenyataan am seolah-olah keputusan sudah boleh dibuat bahawa kenyataan Zahid Hamidi bukan rasuah.

Haniff Khatri berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan dihalusi berpandukan kepada konsep kedaulatan undang-undang.

“Bagi saya terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan dihalusi berpandukan kepada konsep kedaulatan undang-undang, untuk menilai samada kenyataan (Tan Sri) Azam Baki itu adalah wajar atau molek dan begitu juga kenyataan Zahid Hamidi itu berunsur rasuah pilihanraya atau pun tidak.

“Di sini seorang Ketua Pesuruhjaya agensi badan jenayah SPRM, tidak sewajarnya membuat suatu kenyataan am seolah-olah keputusan sudah boleh dibuat bahawa kenyataan Zahid Hamidi bukan rasuah, itu tidak berpandukan kepada konsep kedaulatan undang-undang. Ujar beliau kepada malayadaily.

Menurut Haniff lagi, mana-mana jenayah rasuah tidak tertakluk kepada sesuatua perkara itu A atau pun Z. Ia tertakluk kepada apa yang diungkapkan, kepada siapa ianya diungkapkan, bila ianya diungkapkan, di mana ianya diungkapkan, apakah yang diungkapkan dan adakah ianya mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan pihak yang mendengar yang hadir, yang memperolehi keuntungan-keuntungan daripada ucapan tersebut, membuat undi berpandukan kenyataan tersebut.

“Dalam erti kata lain, setiap ucapan, setiap ungkapan wajar disiasat terlebih dahulu sebelum diputuskan bahawa ianya adalah rasuah atau pun tidak rasuah.

Beliau mengulas kenyataan Azam yang berkata pemberian geran oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada belia di Terengganu, tidak menjadi satu kesalahan rasuah.

Baru-baru ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.

Terengganu adalah antara enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp