KUALA LUMPUR, 27 jUN 2023 – Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini menghadap Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi Seri Mutiara untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kenderaan rasmi membawa Chow Kon Yeow tiba di pintu utama Sri Mutiara tersebut pada jam 7.53 pagi.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Istana Syarqiyyah di sini bagi memohon perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kenderaan rasmi yang membawa Ahli DUN (ADUN) Rhu Rendang yang juga Naib Presiden Pas itu dilihat memasuki pekarangan istana kira-kira jam 8.38 pagi.
Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN dalam tempoh terdekat.
Selangor dan Kelantan sudah membubarkan DUN manakala DUN Pulau Pinang dan Kedah masing-masing akan dibubarkan pada 28 Jun ini.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan pula akan dibubarkan pada 30 Jun. – Awani