KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2023 – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menyiasat laporan penggunaan kad pengenalan oleh pihak lain pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
Menurut Bersih, kesalahan tersebut menyebabkan pemilik sebenar kad pengenalan itu tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
“SPR perlu segera melakukan siasatan di pusat-pusat pengundian yang dilaporkan terjadinya kesalahan ini terutamanya kerani pengundian satu dan dua yang bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti setiap pemilih,” kata kenyataan itu pada Rabu.
“Penyalahgunaan kad pengenalan pihak lain untuk mengundi dalam pilihan raya adalah satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 3(1)(l) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu mengundi di bahagian pilihan raya yang tidak berhak untuk mengundi dan kesalahan penyamaran.
“Berdasarkan laporan pemerhati Bersih, kami telah mendapati sebanyak tiga pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan untuk pengundian, yang menyebabkan nama mereka telah dipotong dalam senarai daftar pemilih. Tiga pengundi tersebut adalah di SMK Seberang Marang, Terengganu, SK Kampung Raja Uda, Selangor dan SK Taman Mahsuri, Kedah.
“Pihak PDRM juga telah membuat kenyataan bahawa mereka telah menerima sebanyak 94 laporan berkenaan kesalahan yang sama [1]. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, kami juga telah menerima tiga laporan nama pengundi telah dipotong dalam senarai daftar pemilih yang menandakan ada pihak lain yang mengundi bagi pihak mereka. Katanya dalam kenyataan tersebut.
“BERSIH juga menggesa agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang rentas parti untuk menyiasat perkara ini dan melakukan siasatan di peringkat Parlimen, termasuk mendapatkan laporan-laporan penjalanan pilihan raya oleh SPR seperti butiran perbelanjaan, isu-isu pilihan raya dan isu daftar pemilih. – malayadaily.com