TERKINI

Program SMART SBB Bantu Kurangkan Kebergantungan Beras Import

Gambar hiasan – foto berita harian

BACHOK, 10 Julai 2023 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berharap Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri ketika ini, akan membantu menghentikan kebergantungan negara terhadap beras import dalam tempoh dua tahun.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Azman Mahmood berkata pelaksanaan SMART SBB itu mampu mengalakkan penanaman padi secara sistematik yang sebelum ini dijalankan secara individu.

“Pelaksanaan program SMART SBB yang sedang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini telah membantu meningkatkan hasil padi melebihi 50 peratus.

“Kami menyasarkan peningkatan purata hasil padi daripada 3.75 metrik tan kepada tujuh hingga 10 metrik tan per hektar bagi setiap pesawah dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Smart SBB Ala Sekinchan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak di Masjid Surau Bator, Gunong, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Azman berkata sekiranya pesawah mampu menghasilkan tujuh hingga 10 metrik tan per hektar, sasaran negara untuk tidak bergantung terhadap import beras negara lain akan berjaya, malah Malaysia juga mampu untuk menjadi pengeksport selepas ini.

Beliau berkata pembaharuan yang dibawa melalui inisiatif itu ialah penggunaan teknologi seperti jentanam bagi meningkatkan hasil padi yang lebih tinggi dan berkualiti.

“Program ini bukan sahaja membantu penanaman padi secara lebih sistematik dengan menggunakan internet kebendaan (IoT), malah ia juga memudahkan pengurusan rumpai, penyakit dan perosak.

“Setakat ini, kami sudah melancarkan lebih 11,000 hektar tanaman padi seluruh negara kecuali Melaka dan Johor dengan penglibatan 5,000 pesawah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata KPKM juga berhasrat untuk bekerjasama dengan seorang pakar (profesor) dari Indonesia untuk memperkenal benih padi yang hanya ambil masa 75 hari untuk dituai.

Katanya, dengan adanya varieti benih padi berkenaan, ia dapat membantu melaksanakan penanaman padi tiga kali setahun.

“Sekarang ini, kita menggunakan benih padi biasa seperti varieti MR219, MR297 yang mengambil maasa 105 hari untuk dituai,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp