TERKINI

Program Tarik Minat Belia Islam Kepada Agama Lain Adalah Dilarang – MAIS

SHAH ALAM, 17 Mac 2023 – Program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata demikian merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sopsial dan elektronik baru-baru ini berkenaan program ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah” anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain Islam.

Jika program begini dibenarkan untuk dianjurkan, ia boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz juga berkata MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia. – sumber AWANI

Facebook
Twitter
WhatsApp