TERKINI

Proklamasi Orang Melayu Bukan Perkauman – Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang

Foto malayadaily.com

BALIK PULAU, 24 Jun 2023 – Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan bersifat perkauman melampau sebaliknya ia manifestasi sayangnya seorang individu kepada kaumnya.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, sifat sayangkan bangsa adalah lumrah semula jadi individu namun ia perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan berlakunya sifat perkauman melampau.

“Sayangnya kepada bangsa ini adalah naluri, fitrah, yang Allah bagi, kita sayang kepada keluarga, anak kita, sayang kepada bangsa Melayu itu fitrah. Cumanya naluri itu mesti diuruskan dengan baik.

“Tapi kita di sini orang Melayu, kalau lihat konteks pengaruh Melayulah di nusantara, di tanah air kita ini.

“Kita di Malaysia, orang Melayulah yang mendominasi, tulang belakang kepada negara kita. Maka orang Melayu mesti menjadi kekuatan sebab kesan kepada politik, kesan kepada kehidupan di Malays a mesti bersandarkan kepada orang Melayu. Ini tidak salah, yang salah adalah Assabiyyah,” katanya.

Sikap melampau katanya menjadikan kaum lain sebagai mangsa kezaliman namun proklamasi orang Melayu itu tidak bersifat sedemikian.

“Assabiyyah itu apabila kita tolong kaum kita tetapi zalimi kaum lain, kita sayang bangsa kita, bela bangsa kita ini normal.

“Pelik kalau orang Melayu tak sayang bangsa Melayu, dari segi penguasaan ekonomi, orang Melayu tertinggal.

“Sayang kepada bangsa tidak salah sedangkan nabi-nabi didukung dengan bangsa. Seruan-seruan itu, wahai kaumku,” katanya.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan bangsa Melayu itu tertinggal dan tercicir khususnya membabitkan ekonomi, mereka perlu dibantu untuk bangkit kerana kumpulan itu merupakan tulang belakang negara.

“Selama ini monopoli oleh orang yang lain menyebabkan orang Melayu tercicir, dan terbiar. Kita perlulah membangunkan kekuatan orang Melayu kerana inilah tunggak di Malaysia.

“Dalam konteks Pulau Pinang ini kita kena tengok. Dalam konteks demografi yang mereka sengaja nak buat pembangunan yang akhirnya orang Melayu terpaksa lari daripada kawasan Melayu sendiri,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp