KUALA LUMPUR, 19 Mac 2023 – Proklamasi Orang Melayu telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini dalam satu sidang media khas yang diadakan oleh Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu.
Proklamasi tersebut mengandungi dua belas perkara yang ditulis sendiri oleh Dr. Mahathir sebagai agenda orang Melayu dan bukan agenda mana-mana parti politik.
“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik, kami hanya mahu menyatukan orang Melayu yang kini semakin berpecah akibat politik negara,” katanya
Dr Mahathir menjelaskan bahawa tujuan proklamasi ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai situasi politik negara masa kini.
Mahathir juga berkata maklumat terkini pergerakan Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu akan dihebahkan kepada semua rakyat melalui pelbagai saluran. Malayadaily.com
Berikut adalah 12 perkara dalam Proklamasi Orang Melayu tersebut;
- Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini. Gerai-gerai kecil mereka pun sudah diambil orang.
- Mutakhir, satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka.
- Nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka.
- Puncanya kerana kecuaian pemimpin Melayu sendiri.
- Parti Melayu atas nama Agama, Bangsa dan Negara sudah diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.
- Rebutan jawatan dan wang telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.
- Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka.
- Masa depan Melayu kini amat gelap. Kemiskinan memaksa orang Melayu menjual tanah-tanah mereka.
- Pemulihan bangsa Melayu hanya akan Berjaya jika mereka kembali bersatu.
- Menyelamatkan bangsa itu adalah kewajipan dan bukannya perkauman. Namun, ia akan menjadi perkauman jika bangsa itu dibiarkan tidak lagi relevan.
- Justeru, kita menyeru supaya diketepikan kepentingan parti dan diri sendiri.
- Bertautlah semula, demi Agama, Bangsa dan Negara.
Jika sayangkan bangsa, turunkanlah tandatangan di atas Proklamasi Orang Melayu ini