TERKINI

Proklamasi Orang Melayu Melangkaui Parti, Tiada Isu Calon, Terus Sokong Melayu Bersatu – Sekretariat POM

Foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2023 – Gerakan Proklamasi Orang Melayu tidak memerlukan wakil untuk dicalonkan dalam mana-mana pilihan raya kerana kedudukan mereka berada lebih tinggi daripada garisan politik kepartian.

Anggota pergerakan itu beranggapan, matlamat utama pergerakan yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah untuk menjadi payung penyatuan orang Melayu untuk membolehkan mereka mengekalkan kuasa politik.

Ketua Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, untuk tujuan itu, Perikatan Nasional (PN) adalah platform sesuai bagi memusatkan sokongan orang Melayu, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

“Penamaan calon sudah dibuat PN, senarai calon akan bertanding di PRN enam negeri, kami Proklamasi Orang Melayu seperti mana kita umum sebelum ini oleh Tun Mahathir kita tidak menolak mana-mana calon diputuskan PN.

“Itu sandaran dan platform orang Melayu. Atas dasar perjuangan sama, kami beri sokongan kepada semua calon diumumkan oleh PN,” katanya, kepada Malayadaily, hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo, pula berkata, meletakkan calon adalah soal kedua bagi gerakan tersebut.

Sebaliknya, perjuangan dari Melayu untuk Melayu yang di bawa Mahathir bagi memastikan pengukuhan kedudukan kuasa mereka lebih penting.

“Perjuangan Mahathir melalui Proklamasi Orang Melayu adalah untuk Melayu kepada Melayu, yang penting kuasa itu akan dapat kepada Melayu.

“Calon soal ini, soal kedua. Mahathir sebagai negarawan memainkan peranan sangat penting untuk menguatkan perpaduan Melayu, kembalikan kuasa kepada Melayu dan agar dapat membina nasib negara, bangsa dan agama kita pada masa akan datang,” katanya.

Manakala, Wan Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, berpendapat, matlamat gerakan itu jelas, iaitu ingin memastikan penyatuan semua orang Melayu di bawah satu payung dengan dipimpin negarawan seperti Mahathir.

“Proklamasi Orang Melayu lebih tinggi berbanding parti politik. Ia payung kepada parti politik yang ada. Mahathir negarawan tidak berparti yang kini berjuang menyatukan Melayu.

“Kami sokong penuh semua calon diletakkan di bawah PN. Matlamat adalah untuk pastikan semua calon menang, yang penting perpaduan Melayu melangkaui politik kepartian,” katanya.

Sehubungan itu, tidak timbul isu merajuk atau sebagainya, apabila tiada calon mereka pada PRN, katanya.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Ruhanie Ahmad pula berkata, gerakan itu tidak kecewa walaupun tidak mempunyai sebarang calon diletakkan dalam PRN kali ini.

Sebaliknya, bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata, PRN di enam negeri adalah permulaan kepada penyatuan orang Melayu di seluruh negara.

“Proklamasi Orang Melayu berjaya gerakkan gelombang dinamika penyatuan. Ini amat dirasai, itu kejayaan. Dinamika gelombang menyumbang kepada pengukuhan sokongan orang Melayu kepada calon-calon PN.

“Gelombang ini meyakinkan golongan atas pagar dalam perjuangan menebus kembali kuasa Melayu, babak mulanya menerusi PRN di enam negeri. Ini permulaan yang sangat dinantikan.

“Satu permulaan yang menakjubkan kerana idea penyatuan Melayu diketengahkan gerakan ini menggerakkan dan membuka minda, kalau kita bersatu kita selamat dan kalau berpecah kita akan terancam di masa hadapan,” katanya.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional Datuk Zuraida Kamaruddin pula berkata, sebagai penyokong proklamasi tersebut, mereka hanya ingin memastikan penguasaan majoriti orang Melayu dapat direalisasikan dalam pentadbiran negara.

“Kami komited dengan janji proklamasi, Melayu bersama pastikan calon Melayu menang, kemenangan ini mulanya gelombang Melayu yang mana Melayu sudah mula mendapat kuasa majoriti,” kata bekas ahli Parlimen Ampang itu lagi.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula berkata, gerakan Proklamasi Orang Melayu akan terus mendukung perjuangan Perikatan Nasional (PN) dan memberi komitmen menyokong calon gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang, walaupun mereka gagal mendapat sebarang kerusi.

“Itu adalah peringatan pengerusi gerakan, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada penyokong perjuangan tersebut.

“Dalam ertikata yang lain, pemimpin-pemimpin Proklamasi Orang Melayu menghormati semua keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi PN.

“Walaupun sudah beberapa kali berunding mengenai kerusi-kerusi untuk calon-calon Proklamasi Orang Melayu walaupun gagal kami tetap menghormatinya.

“Mahathir telah mengingatkan semua pemimpin-pemimpin Proklamasi Orang Melayu untuk terus menyokong PN pada PRN ini tidak kira samada tersenarai bertanding ataupun tidak,” kata Khairuddin, dalam satu kenyataan, hari ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp