TERKINI

Proklamasi Orang Melayu Mahu Bantu Melayu, Bukan Tolak Hak Kaum Lain – Tun M

Foto Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukan bertujuan untuk menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah dihadapi oleh bangsa Melayu.

Mahathir berkata, orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

“Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

“Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mahathir lagi, proklamasi itu juga adalah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa kedudukan mereka tidak begitu kuat, lemah dan kini menjadi semakin goyah.

Mesyuarat hari ini turut menyaksikan beberapa pemimpin politik tanah air berhimpun di ibu kota.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut kelihatan, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali; dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp