TERKINI

Pulai dan Simpang Jeram, Kekal Milik PH

Gambar hiasan – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 10 Sept 2023 – Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi yang disandang sebelum ini.

Kejayaan itu juga menepati ramalan pelbagai pihak bahawa gabungan berkenaan mampu mempertahankan kerusi tersebut dalam PRK kali ini.

Di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi selepas memperoleh 48,283 undi.

Dua lagi pesaingnya, Zulkilfi Jaafar (PN) memperoleh 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.

Manakala di DUN Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abd Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi selepas memperoleh 13,844 undi.

Wakil PN, Dr Mohd Mazri Yahya mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, S Jeganathan mendapat 311 undi.

PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.

Allahyarham Salahuddin mencatatkan kemenangan besar di Pulai dengan majoriti 33,174 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November 2022 manakala memperoleh 2,399 undi majoriti bagi Simpang Jeram menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp