TERKINI

Rasuah Penjawat Awam, Jejaskan Kepercayaan Rakyat

Gambar hiasan – malayadaily.com

SHAH ALAM, 12 Sept 2023 – Rasuah melibatkan penjawat awam bukan sahaja memberikan persepsi buruk, malah boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap imej mereka dan kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, penjawat awam yang terjerumus dalam budaya tidak sihat itu kerana mementingkan diri sendiri akibat mengejar keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan kesan kepada banyak pihak.

Akibat rasuah, katanya, perkembangan ekonomi negara boleh terbantut.

“Misalnya kos untuk melakukan projek pembangunan akan menjadi lebih mahal disebabkan terpaksa ambil kira kos lain dalam pelaksanaan projek berkaitan.

“Sehinggakan ia mungkin menyebabkan ada projek yang terbengkalai atau tertangguh,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kes seorang penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM45,000 pada Khamis lalu.

Tambah Zairudin, rasuah turut berupaya melumpuhkan kewibawaan dan kestabilan ekonomi.

“Gejala ini akan terus merebak dan membawa pelbagai kesan negatif, jadi ia perlu dibanteras sejak awal lagi bagi mengembalikan keyakinan pelabur.

“Ia menyebabkan wujudnya situasi monopoli dalam ekonomi, pemilik perniagaan yang mempunyai hubungan baik dengan pegawai atau pemimpin kerajaan sehingga boleh memanipulasi dasar dan mekanisme pasaran untuk meraih kuasa,” katanya.

Katanya, dengan kuasa monopoli, persaingan harga atau kualiti tidak lagi wujud dan pengguna akhirnya terkesan kerana terpaksa membayar lebih untuk kualiti yang rendah. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp