TERKINI

RCI Batu Puteh: Peguam mohon Agong dedah laporan RCI

Mohamed Haniff Khatri – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 19 Jun 24 – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri memohon Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mendedahkan laporan terbaru Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada umum.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, menyifatkan ianya penting supaya rakyat dapat melihat bahawa penubuhan RCI Batu Puteh itu sebenar-benarnya adalah tulen dan ikhlas.

“Bukankah kini menjadi teramat penting untuk mendedahkan berkaitan rekomendasi-rekomendasi yang telah diketengahkan oleh RCI Batu Puteh kepada pihak-pihak berkenaan, supaya rakyat dapat lihat bahawa penubuhan RCI Batu Puteh itu sebenar-benarnya adalah tulen dan ikhlas, ujarnya.

Permohonan tersebut susulan Pengerusi RCI Pulau Batu Puteh Md Raus Sharif menyerahkan laporan terbaru suruhanjaya itu kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Dalam permohonan tersebut, Haniff merayu agar laporan itu didedahkan secara terbuka supaya rakyat Malaysia dapat mengetahui kebenaran di sebalik tindakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk menarik balik rayuan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pemberian Singapura kedaulatan ke atas Batu Puteh.

“Justeru, saya dengan penuh takzim memohon kepada Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong agar Baginda Tuanku dapat membuat titah arahan agar:

“Sesalinan Laporan RCI Batu Puteh berkenaan diserahkan kepada kesemua pihak yang terbabit, termasuk dan tidak terhad kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada ketika masa material penarikan balik semakan ke ICJ dilakukan, supaya mana-mana komen dan teguran berkaitan kemuktamadan Laporan RCI Batu Puteh dapat dilakukan sebelum ianya didedahkan.

“Supaya, segala komen dan teguran berkaitan kemuktamadan Laporan RCI Batu Puteh dapat ditambah sebagai addendum. Jika perlu dan dicetak sebagai Laporan RCI Batu Puteh yang muktamad. Katanya.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Sultan Ibrahim telah memperkenankan penubuhan segera suruhanjaya itu.

Pembentukan RCI telah dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 12 Jun, Mahathir memberikan keterangan semasa prosiding tertutup RCI. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp