TERKINI

RUU Pengangkutan Awam Darat Kawal Selia Khidmat P-Hailing – MOT

Hasbi Habibollah – foto ukas

KUALA LUMPUR, 12 April 2023 – Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Negara semalam antara lain bagi membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengawal selia syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan seramai sembilan senator di Dewan Negara, semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata rang undang-undang itu bertujuan untuk meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu Akta 715 bagi mengawal selia perkhidmatan kenderaan barangan termasuk penggunaan motosikal dalam perniagaan pengantaraan perkhidmatan p-hailing.

“Isu-isu dibangkitkan diambil maklum dan merupakan perkara yang menjadi asas kenapa kerajaan mengambil keputusan untuk mengawal selia industri ini. Perkara-perkara terbabit kelak akan dikawal selia oleh pihak APAD,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit yang ingin mengetahui apakah tindakan Kementerian Pengangkutan bagi menangani isu manipulasi sistem operator yang dilihat sebagai menindas pendapatan yang dijana penunggang p-hailing dalam ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Hasbi berkata Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 mengandungi enam fasal.

Sementara itu, persidangan Dewan Negara hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Rang undang-undang berkenaan antara lain memperuntukkan kenderaan p-hailing sebagai kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Hasbi ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kementerian bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah merangka satu draf kurikulum atau silibus pembelajaran bagi penunggang p-hailing mendapatkan lesen vokasional.

“Antara skop utama yang akan dimasukkan ialah memahami perbezaan risiko sebagai penghantar berbanding pengguna biasa.

“…dan keperluan untuk lebih berhati-hati di jalan raya, memahami dan meramal bahaya di jalan raya sebagai seorang penghantar (dan) mengingati konsep asas penunggangan selamat atau ikhtisar-ikhtisar modul asas Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ),” katanya.

Menurut Hasbi kursus tersebut boleh ditawarkan oleh institut memandu dan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing namun akan dipantau dan dikawal selia sepenuhnya oleh pihak JPJ dan kadar fi bagi mendapatkan lesen berkenaan hanya akan diputuskan selepas punca kuasa perundangan itu ditetapkan. – sumber Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp