KUALA LUMPUR, 15 Jan 2024 – Undang-undang membenarkan seorang perdana menteri ditukar sekiranya mendapati telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Kata beliau, undang-undang itu termaktub dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sejak setahun lalu rakyat sentiasa disajikan dengan kenyataan daripada kerajaan campuran itu bahawa mereka semakin kuat dengan dua pertiga majoriti.
“Tetapi, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang, yang menunjukkan situasi politik masa kini yang melanda pusat pentadbiran di Putrajaya.
“Walaupun ‘semakin kuat’, namun skripnya sentiasa berubah dan kebelakangan ini pula beberapa komponen parti yang menyokong Anwar Ibrahim mula menunjukkan sikap bertentangan dengan keyakinan majoriti yang dikatakan selama ini.
“Terbaru, berhubung RUU Penggal Tetap Parlimen yang dicadang secara tebuka oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan disokong sepantas kilat Ahmad Maslan,” katanya dalam kenyataan kepada MalayaDaily, hari ini.
Muhammad Rafique berkata, pagi ini keluar pula kenyataan dari pengerusi sebuah NGO yang dinamakan Bersih menyatakan sokongannya kepada cadangan penggubalan RUU itu.
Katanya, sebelum ini Bersih yang suatu ketika dulu cukup kritikal terhadap kerajaan, namun memperlihatkan sikap pronya kepada kerajaan pimpinan Anwar.
“Tidak dinafikan, jika ada satu bentuk jamiman kerajaan yang dibentuk itu kekal satu penggal penuh, ianya membawa kepada kestabilan negara kerana mempunyai masa mencukupi untuk memastikan dasar negara tercapai, hala tuju dapat ditentusahkan dan membina keyakinan kepada pelabur.
“Tetapi, mengapakah RUU ini tidak dicadang dan diusul serta dibahaskan pada masa Tun Dr. Mahathir Mohamad digantikan pada Mac 2020?
“Mengapa UMNO, Bersih dan pelbagai pihak lagi yang tiba-tiba celik undang-undang tidak mencadangkannya secara agresif serta terbuka seperti beberapa hari kebelakangan ini semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob?,” soal beliau.
Kata beliau, hak kebebasan ahli Dewan Rakyat untuk memilih dan kekal menyokong (jika baik) dan/atau menarik sokongan (jika gagal) dari Perdana Menteri adalah satu kebebasan yang perlu dikekalkan.
Ini kerana, jelasnya, ahli Dewan Rakyat adalah wakil kepada rakyat dan mereka perlu mendengar denyut nadi susah senang rakyat, bukan hanya suara arahan ketua parti.
Muhammad Rafique turut menyifatkan, RUU itu hanya menguntungkan dua individu iaitu perdana menteri dan Presiden UMNO.
“Perdana Menteri merasakan jawatan itu hak kelahirannya seorang, manakala Presiden UMNO pula tahu jika tidak mempertahankan PMXnya, maka kes yang dihadapinya akan dibongkar dan dibuka semula untuk perbicaraan.
“Akhirnya, apa yang berlaku, RUU ini bukan untuk kestabilan, keyakinan dan hala tuju jangka panjang pertumbuhan negara, sebaliknya demi dua individu sahaja yang berkepentingan,” kata beliau. – MalayaDaily