TERKINI

RUU Perkhidmatan Parlimen: Ketua Pembangkang Bidas Pengkritik

Hamzah Zainudin (tengah) – foto facebook DSHZ

KUALA LUMPUR, 7 Mac 25 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin membidas pihak yang memutarbelit cerita mengenai penolakan pembangkang terhadap RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 baru-baru ini.

Hamzah dalam satu sidang media di Parlimen berkata, pembangkang mengambil sikap berkecuali yakni tidak mengundi kerana cadangan RUU tersebut tidak jelas.

“Kita di pihak pembangkang abstain ataupun berkecuali, bukan bermakna kita menolak.

“Ada perbezaan di sini, dalam kertas undi tu dia ada tulis situ, satu sokong, satu tolak, satu tidak mengundi. Tidak mengundi tu bermakna kita berkecuali. Ujarnya.

Beliau menjelaskan keputusan tersebut adalah kerana pembangkang mahu sesuatu yang jelas dalam menentukan apa saja undang-undang yang mahu dibawa.

“Saya ingin jelaskan bahawa bila kita berkecuali adalah kerana kita nak mendapat ketegasan dalam menentukan apa saja undang-undang yang nak dibawa dalam parlimen itu biarlah sesuatu yang benar-benar jelas.

“Yang jadi masalah kita adalah kerana tak jelas, mereka mengatakan lulus dulu, yang itu kemudian. Katanya.

Dalam sidang media yang sama, Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU mengingatkan bahawa sebelum ini pembangkang pernah menyokong beberapa akta yang telah dibawa ke parlimen seperti RUU isu kewarganegaraan yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Banyak akta yang dibawa atau Rang Undang-undang yang dibawa dalam parlimen ini, ada yang kita sokong, ada yang kita tolak dan ada yang kita abstain (berkecuali) yang kita tidak mengundi.

“Pernah kita sokong Rang Undang-undang kewarganegaraan yang dibawa oleh Kementerian dalam negeri, kita sokong dan yang kita tolak pun, ada kita tolak. Jelasnya.

“Sebab itulah saya minta supaya semua jelas bahawa tak payah nak spin story bahawa kita nilah kumpulan yang nak menolak reform.

Reform tu biar betul, cara nak melakukan reform proses tu biar berlaku dengan adil, itu yang kita mahukan, kalau proses dapat dilakukan secara adil, tubuh Jawatan Kuasa bincang (dengan) semua pihak, insyaAllah kita akan sokong. Tegas beliau.

Selasa lalu, kerajaan berjaya meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan memberi laluan kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata berdasarkan undi berbelah bahagi, dua pertiga ahli Dewan Rakyat bersetuju iaitu seramai 148. Manakala 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

Dalam satu laporan media, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini sebagai mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.

Sementara itu, Hamzah turut berkata bahawa kerajaan hanya bernasib baik dalam proses kelulusan RUU tersebut.

Katanya, 148 Ahli Parlimen yang menerima pindaan itu menunjukkan kerajaan hanya mempunyai undi ‘cukup-cukup makan’ untuk meluluskan pindaan berkenaan.

“148 bukan kemenangan besar, sebaliknya hanya cukup makan, kerana undi yang diperlukan ialah 147. Ujarnya – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp