TERKINI

Sanusi Digemari Rakyat Kedah

Ceramah PN di Jerai – foto malayadaily.com

GURUN, 9 Ogos 2023 – Rata-rata orang Kedah menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai seorang pemimpin yang memahami ‘bahasa’ rakyat yang lebih suka berterus terang tanpa menggunakan retorik atau bahasa ‘seni’ yang keterlaluan.

Ketika ditemubual, salah seorang pengundi kawasan Gurun, Haikal Majid, 36 berkata, Sanusi tak seperti pemimpin PAS yang sebelum ini yang agak formal.

“YB Sanusi berbeza karekter dengan pemimpin PAS yang lain termasuk bekas MB-MB Kedah sebelum ini, dia lain, bahasa dia dan pergaulan dia mudah disenangi rakyat pelbagai golongan.

“Cara dia pun senang orang biasa nak faham, dia kembalikan semangat rakyat Kedah dengan sejarah. Tak ada pemimpin yang nak bercakap tentang identiti Kedah, apa lagi tentang sejarah. Rakyat suka, ujarnya kepada wartawan malayadaily.

Seorang lagi pengundi dari Sungai Petani, Rashid 54, yang bekerja sebagai ejen umrah, berkata bahawa Sanusi ini dilihat sebagai pengganti Mat Sabu (Mohammad Sabu) yang lantang bercakap.

“Kalau dulu PAS ada Bang Mat (Mohamad Sabu), tapi la ni Sanusi yang berani dan lantang bersuara, dia tak takut, dia cakap ada fakta bukan buat lawak.

“Orang kata dia bercakap kasar, bagi kami tak macam tu, tu memang gaya dia, dia cakap tegak-tegak, tak ada corner-corner (pusing-pusing), ujar Rashid.

Dalam tinjauan umum di kawasan sekitar, rakyat melihat Sanusi sebagai tokoh baru yang muncul ketika nama-nama pemimpin yang ada lebih menumpukan kepada publisiti dan retorik politik.

Seorang wanita yang berhijrah ke Shah Alam yang merupakan pengundi tempatan, Puan Hayati, 39, berkata orang-orang Kedah merasa semangat mereka kembali apabila munculnya Sanusi.

“Kami seronok ada pemimpin macam Sanusi, cakap-cakap dia naikkan semangat anak-anak Kedah.

“Saya balik ni sebab nak mengundi, PRU lepas saya tak balik, tapi la ni balik. Kita nak undi. Ujar Hayati.

Pada 12 Ogos ini, pengundi di enam buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan bagi penggal seterusnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp