TERKINI

Selepas Tun M, anaknya pula jadi sasaran ‘kerajaan reformasi’

Anwar Ibrahim (kiri), Mahathir Mohamad (kanan) – foto Awani

KUALA LUMPUR, 19 Jan 2024 – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi tuduhan Anwar Ibrahim terhadapnya memiliki berbilion ringgit kerana menyalahguna kuasa ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Bagaimanapun, katanya, apabila Perdana Menteri ke-10 itu diminta mengemukakan bukti atas tuduhan itu, sampai sekarang beliau tidak berikan sebarang bukti.

“Apabila Anwar tidak beri bukti, saya saman dia kerana fitnah terhadap saya dan di mahkamah juga saya berulang kali minta bukti dikemukakan.

“Sehingga hari ini, sudah setahun berlalu. (Masih juga) tidak ada bukti ditunjukkan (Anwar).

“(Selepas didesak), akhir sekali Anwar kata kononnya bukti ada pada Petronas. Petronas terletak bawah Anwar,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Tun Dr. Mahathir kemudian berkata, sebaliknya anak beliau, Mirzan didakwa dengan ugutan jika buat apa-apa tindakan yang pendakwa anggap bertentangan dengan dakwaan, akan dipenjara selama lima tahun.

Beliau hairan dalam dakwaan itu langsung tidak menyebut Mirzan akan dihadapkan ke mahkamah.

“Inilah reformasi. Di luar kerajaan cakap tentang kezaliman pihak berkuasa. Tetapi, bila jadi kerajaan dan berkuasa, (Anwar) laku lebih buruk kezaliman terhadap musuh politik.

“Kalau sokong jadi kawan, perbicaraan mahkamah pun boleh dihenti,” katanya.

Dr. Mahathir menjelaskan, ramai nama penyokong kerajaan dalam Pandora Papers seperti Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Mereka ini tidak disiasat, jauh sekali dari didakwa,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, terdapat juga nama beberapa ahli perniagaan seperti Lim Kok Thay, Mahmud Bekir, Tiong Hiew King, Larry Low Hock Ping, Datuk Yamani Hafez Tan Sri Musa dan mendiang Tan Sri G Gnanalingam dalam Pandora Papers yang tidak didakwa sehingga sekarang.

“Inilah keadilan reformasi,” ujar beliau. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp