TERKINI

Separuh Rakyat Hadapi Masalah Air Adalah di Selangor – Bekas Menteri Kerja Raya

Mohd Zin Mohamed – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2023 – Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mendakwa lebih separuh rakyat Malaysia yang menghadapi masalah bekalan air adalah dari Selangor.

Dakwanya, syarikat bekalan air negeri, Air Selangor juga mengalami kerugian setiap tahun.

“Lebih 50 peratus rakyat Malaysia yang terkesan dengan masalah bekalan air adalah di Selangor.

“Kerajaan sekarang dah sekian lama mentadbir, tapi masalahnya masih tidak selesai dan Air Selangor melaporkan kerugian besar setiap tahun,” katanya, dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan beraudit Air Selangor, Mohd Zin berkata syarikat itu dilapor mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion pada 2019, RM1.1 bilion pada 2020, dan RM1.3 bilion pada 2021.

Bekas menteri kerja raya itu mengatakan antara punca terbesar dihadapi pengurusan air di Selangor adalah pencemaran sungai yang dilakukan kilang-kilang haram yang didirikan di sepanjang tebing sungai dan membuang sisa kilang ke dalam saluran perparitan.

“Persoalannya, mengapakah kilang-kilang ini terus beroperasi, malah ada pula kilang-kilang haram yang terus terbina?

“Hasilnya, loji air perlu ditutup dan puluhan juta ringgit dihabiskan untuk merawat sungai dan loji yang tercemar.

“Kos ini sepatutnya boleh memperluaskan pemberian air percuma kepada rakyat, tapi sebaliknya dibazirkan untuk tujuan ini,” katanya.

Mohd Zin juga membangkitkan soal pembaziran air disebabkan kebocoran disepanjang laluan paip untuk menyalurkan bekalan air terawat kepada pengguna, yang mana menelan kerugian besar.

“Ratusan ribu kes paip bocor dan pecah telah membawa kepada kerugian jutaan liter air yang tidak sampai kepada pengguna. Air Tidak Terhasil (NRW) ini adalah lebih 27% daripada jumlah keseluruhan bekalan dan bernilai RM440 juta ringgit.

“Kadar kerugian ini pula hanya mampu dikurangkan sebanyak 0.23% daripada 27.99% pada tahun 2021 kepada 27.76% pada tahun 2022,” katanya.

Penggantian paip baharu katanya berupaya mengatasi masalah itu namun, beliau menjangkakan, ia hanya akan diselesaikan dalam tempoh 40 tahun dengan kadar yang diusahakan setakat ini.

“Disebabkan masalah ini, pengguna pula yang dibebankan dengan pelbagai keperluan tambahan semata-mata untuk bekalan air. Penapis air perlu dipasang di rumah untuk merawat air, dan tangki air juga perlu dimuatkan untuk menakung air bila mana bekalan air tergendala.

“Kerugian hasil pentadbiran dan pengurusan yang tidak cekap ini bukan saja membawa kerugian kepada Air Selangor, malah rakyat Selangor juga perlu mengharungi pelbagai kesusahan dan keperitan apabila gangguan air berlaku.

“Terkini pada awal bulan Julai tahun 2023, Air Selangor meminta untuk tarif air dinaikkan untuk menampung segala kerugian hasil pengurusan sebegini,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp