TERKINI

SG4 bukan untuk bersaing dengan kerajaan persekutuan – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia

Armin Baniaz Pahamin – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 6 Nov 2023 – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berpendapat bahawa penubuhan struktur kerja bagi State Government 4 (SG4) pada dasarnya tiada kaitan dengan semangat satu negara sepertimana digambarkan oleh Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak.

Menurut beliau, inisiatif SG4 bukan untuk bersaing dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain tetapi fokus untuk pembangunan ekonomi empat buah negeri tersebut.

“Penubuhan struktur rasmi empat negeri ini tiada kena mengena dengan semangat satu negara
seperti ulasan Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak.

“Ianya bukan untuk bersaing dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain tetapi fokus utama struktur rasmi ini adalah untuk pembangunan ekonomi dengan mengoptimumkan hasil sumber tempatan, produk dan lokaliti strategik negeri-negeri SG4, ujar Armin.

Armin juga berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengalaman yang luas untuk membangunkan sesebuah negara dengan cara dan metod pentadbiran yang sama juga telah melahirkan berbagai industri dengan jayanya di Malaysia.

“Tun Dr Mahathir telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara membangun yang pada asalnya Malaysia adalah sebuah negara dunia ketiga dan negara pertanian melalui pembentukan beberapa industri yang menjadi tulang belakang negara.

“Rangkaian dan agensi-agensi kerajaan negeri perlu memahami dengan jelas matlamat dan
halatuju ekonomi SG4 untuk keberkesanan perlaksanaan sesebuah dasar dan pencapaian
matlamat ekonomi.

“Struktur rasmi SG4 juga perlu berhubung dan bekerja-sama erat dengan kerajaan persekutuan,
kerana bukan matlamat SG4 untuk bersaing dengan kerajaan persekutuan.

Baru-baru ini, memetik laporan Free Malaysia Today, Barjoyai Bardai berkata penubuhan struktur rasmi empat negeri ditadbir PAS atau dikenali “state-government 4” (SG4) boleh menjurus kepada situasi ‘tidak melambangkan semangat satu negara’.

Beliau juga berkata negeri di bawah SG4 iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu sepatutnya mewujudkan satu kaedah komunikasi rasmi dengan Putrajaya bagi melancarkan urusan pelaburan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp