TERKINI

Sultan Kedah gesa struktur Mahkamah Syariah disemak, Tuanku Muhriz titah beberapa enakmen negeri dipinda

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kiri), Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (kanan) – malayadaily.com

ALOR SETAR, 4 Mac 2024 – Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menggesa kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya untuk memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat.

Baginda bertitah kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem diguna pakai di Mahkamah Sivil.

“Mahkamah Syariah adalah obor keadilan Agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri ini. Oleh yang demikian, beta mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini.

“Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah beberapa enakmen berkaitan agama Islam di negeri ini akan dipinda.

Tuanku Muhriz bertitah ia melibatkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2024 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan).

“Semua inisiatif ini dijangka dapat memantapkan lagi pentadbiran agama Islam di negeri ini dengan memperbesarkan skop dan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta memudahkan agensi itu lebih proaktif dalam memulakan inisiatif baharu,” titah baginda pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2023 di sini hari ini. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp