TERKINI

Sultan Selangor ingatkan bukan Islam tidak mencampuri urusan agama Islam

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor – foto Mstar

KUALA LUMPUR, 30 Dis 2023 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengingatkan rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, semalam, Baginda menitahkan demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

“MKI yang dipengerusikan oleh Baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

“MKI juga dianggotai olen pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan Agama Islam.

Justeru, Baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam.

“Penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

“Baginda berkenan memetik ayat ke-6 Surah al-Kafirun di mana Allah SWT telah berfirman, (yang bermaksud) :-

“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

Sebelum ini, Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar undang-undang dalam kalangan orang bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Dalam kenyataan yang sama, Baginda turut mengambil maklum reaksi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan terdapat salah faham di pihak Koo Ham.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp