PUTRAJAYA, 20 Mac 2024 – Ketua Penerangan parti Pejuang, Rafique Rashid mempersoalkan sumber kewangan bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador yang dilaporkan media telah menguasai kepentingan dalam HeiTech Padu melalui syarikat persendirian, Rosetta Partners Sdn Bhd.
Beliau dalam entri di laman facebook membangkitkan persoalan tersebut memandangkan beliau yang juga bekas setiausaha politik Anwar yang kini menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Kalau sebelum ini dilantik pengerusi di beberapa syarikat besar, kini HeiTech Padu pula disasarkannya.
“Hampir RM 40juta dalam beberapa minggu lepas menyebabkan kroni Anwar mengawal secara tidak langsung syarikat yang disenarai dalam papan utama BSKL.
“Ya, tidak salah nak berniaga, undang-undang benarkan. Tapi kita nak tahu dari mana dapat duit sebanyak itu?, soalnya.
Mengulas lanjut, Rafique berkata, syarikat HeiTech Padu adalah salah satu syarikat yang baru sahaja dapat lanjutan projek dari kerajaan bernilai RM 13 juta yang mana syarikat tersebut juga antara satu dari tiga syarikat yang telah disenaraipendek untuk kontrak kerajaan berkaitan Imigresen bernila RM 1 bilion.
“Kontrak kerajaan yang mana Perdana Menteri dari PKR, Menteri Kewangan dari PKR, Menteri Dalam Negeri dari PKR.
“Mengapa dan kenapa dalam jangkamasa begitu pendek serta secara tiba-tiba Farhash ini sasarkan HeiTech Padu Berhad?, ujarnya.
Rafique yang juga seorang peguam menyifatkan perkembangan ini sebagai suatu kebangkitan semula gejala kronisme.
“Kebangkitan semula kronisme. Hipokrasi tahap tegar dari parti label derita. Katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Datuk Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus atau 16.1 juta saham yang dibeli awal minggu ini.
HeiTech dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Farhash memiliki kepentingan dalam syarikat itu melalui syarikat persendirian, Rosetta Partners Sdn Bhd, yang membeli 9.69 juta saham pada 12 Mac dan 6.16 juta saham sehari sebelumnya.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Bhd pada Mei tahun lalu, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd pada Disember 2022. – malayadaily.com