
KUALA LUMPUR, 29 Jan 2025 – Parti PUTRA menyifatkan syor harga siling baru padi RM1,800 per tan sepertimana dituntut oleh pihak PeSAWAH adalah munasabah bagi mengelak negara terpaksa mengimport beras seratus peratus dari luar negara.
Dalam satu kenyataan, wakil Putra Dato’ Asmawar Samat berkata, syor tersebut telah mengambil kira harga beras yang telah meningkat naik manakala Beras Tempatan (BT) sudah hilang di pasaran.
“Pihak PUTRA berpandangan syor harga siling baru padi RM1,800 per tan sepertimana dituntut oleh pihak PeSAWAH adalah munasabah untuk demi mengekalkan Pesawah Padi terus setia menananam padi.
“Jika tidak negara terpaksa mengimpot beras 100% dari luar negara. Maka harga beras terus meningkat dan rakyat diminta makan ubi kayu.
“Syor di atas telah mengambil kira harga beras yang telah meningkat naik manakala Beras Tempatan (BT) sudah hilang di pasaran, dan Kartel-kartel lebih berkuasa mengawal beras. Ujarnya.
Tambah beliau, harga Beras Cap Rambutan (import) kini RM6.50 sekilogram berbanding harga Beras Tempatan (yang telah hilang di pasaran) sebelum ini sebanyak lebih kurang RM2.60 sekilogram (sebelum Jun 2024).
“Pihak PUTRA berpandangan, keputusan kerajaan agar tidak menaikkan harga siling padi lebih dari RM1,300 per tan adalah suatu perkara yang tidak munasabah dan menekan para pesawah padi yang berdepan dengan kenaikan kos diesel dan Baja tanpa subsidi.
“Pihak kerajaan perlu mengekalkan integriti, bersikap berani, telus dan prihatin agar tidak dianggap terlalu dikongkong oleh pihak Kartel Padi dan Beras yang sentiasa mahu memanipulasi dan mengaut keuntungan berlipat ganda. kata beliau.
Isnin lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH) mengadakan demonstrasi aman di hadapan Wisma Tani di sini bagi menuntut harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.
Sejurus demonstrasi itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu berikrar akan mengambil tanggungjawab terhadap desakan pesawah yang meminta kerajaan mengkaji semula harga lantai padi, selain melibatkan diri secara langsung dengan isu-isu lain yang melibatkan komuniti tersebut.
“Menteri akan ambil tanggungjawab turun ke Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), Kada (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) dan lain-lain tempat.
“(Kerajaan akan adakan) sesi libat urus berterusan dengan penanam padi,” katanya menerusi mesej ringkas kepada pemberita. – malayadaily.com