TERKINI

Tambah Baik Pelaksanaan, Bukan Akta Baharu Untuk Tangani Isu 3R, Kata Peguam

Haniff Khatri – foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2023 – Undang-undang untuk menangani isu berkaitan bangsa, agama, dan raja-raja (3R) sudah mencukupi namun keperluan yang wujud adalah agar pelaksanaannya dikuatkuasakan dengan lebih baik dan teratur, kata peguam terkenal, Haniff Khatri.

Hanif berkata, sehubungan itu tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan akta baharu kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengekang penyalahgunaan isu tersebut daripada mana-mana pihak.

“Isu 3R, berkaitan bangsa, agama dan raja raja, kita sudah ada undang-undang cukup dalam sistem kehakiman dan perundangan untuk mana-mana pihak yang menyalah gunakan kedudukan dan hak bersuara dalam melanggar tiga perkara tersebut, sama ada jenayah dan sivil.

“Khususnya kalau jenayah ada Akta Hasutan selain Kanun Keseksaan atau undang-undang multimedia, kalau sivil kita ada undang-undang fitnah.

“Tiada keperluan untuk Azalina Othman nak cuba usulkan undang-undang baru lagi. Undang-undang dah cukup, cuma cara pelaksanaannya yang perlu dilakukan dengan betul berdasarkan pelaksanaan undang-undang,” kata Hanif, kepada Malayadaily.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-undang itu yang berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan akta baharu bagi menghukum pihak menyalahgunakan isu 3R dari aspek sivil.

Hanif turut mengingatkan ahli Parlimen Pengerang itu, selain rakyat biasa, beliau perlu sedar terdapat segelintir rakan menteri yang melakukan kesalahan berkaitan isu tersebut.

“Bukan tentang orang biasa rakyat marhaen atau pembangkang yang dirisaukan isu berkaitan 3R. Kerajaan sendiri yang banyak terdorong terjerumus lakukan kesalahan 3R,” kata Hanif.

Hanif mendakwa, antaranya termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya yang berkata beliau mengarahkan ketua polis negara dan timbalannya untuk memberikan fokus kepada isu melibatkan 3R, sedangkan pihak eksekutif tak boleh mencampuri urusan yang tergolong budi bicara mutlak polis.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga katanya melakukan tindakan sama apabila mengatakan sebagai menteri beliau memberi amaran polis akan pantau dari rumah ke rumah berkaitan perkara melibatkan 3R.

“Bukan semua perkara boleh jadi jenayah, terdapat pembelaan mutlak sekiranya isu berkaitan kaum, agama, dan raja disentuh dari sudut ilmiah dan untuk mencadangkan apa apa perubahan kepada undang-undang berdasarkan landasan kedaulatan undang undang yang dibenarkan.

“Tak boleh seorang menteri menekan rakyat seolah rakyat tak boleh langsung sentuh isu 3R sedangkan itu hak bersuara,” kata Hanif.

Azalina sebelum ini berkata akta baharu itu yang dicadangkan itu mungkin akan sebagai dinamakan Akta Negara dan Bangsa, berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura namun dalam konteks Malaysia.

Sebarang kesalahan melibatkan isu 3R ketika ini akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang.

Perkara itu juga sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Rabu dan mendapat respons yang positif.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi ketika ini ialah apabila media sosial digunakan bagi mempermainkan isu 3R, ia mampu dinafikan dan tiada mempunyai bukti kukuh.

Katanya justeru, kewujudan akta baharu adalah penyelesaian kepada isu 3R yang semakin menjadi-jadi di Malaysia sejak kebelakangan ini seterusnya memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp