TERKINI

Tentera Amerika bakar diri, protes kematian di Gaza

Kedutaan Israel di Washington DC – foto NYTimes

NEW YORK, 27 Feb 2024 – Seorang anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) membakar dirinya di luar kedutaan Israel di Washington DC, sebagai simbol unjuk rasa terhadap kematian orang awam di Gaza, pada Ahad.

Jabatan Polis Metropolitan di Washington mengenal pasti lelaki itu sebagai Aaron Bushnell, 25, dari San Antonio. Jurucakap Tentera Udara A.S., Ann Stefanek, telah mengesahkan bahawa dia adalah seorang juruterbang yang aktif bertugas.

Memetik laporan The New York Times, Aaron telah merakamkan protes itu pada hari Ahad dan menyiarkannya secara langsung di platform media sosial Twitch.

The New York Times berkata, mereka tidak dapat mengesahkan siapa di sebalik akaun yang menyiarkan video itu, tetapi rakaman itu sepadan dengan butiran kejadian yang dikeluarkan oleh polis.

Ketika berdiri di hadapan pintu pagar Kedutaan Israel di Washington, dia meletakkan telefonnya untuk menyiram dirinya dalam cecair jernih dari botol logam.

Dia kemudian membakar dirinya sambil berteriak, “Bebaskan Palestin!” sehingga dia jatuh ke tanah.

“Saya tidak akan lagi terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai (genosid). Saya akan terlibat dalam tindakan protes ekstrem.

“Tetapi jika dibandingkan dengan apa telah dialami orang awam di Palestin di tangan penjajah mereka, ia tidak melampau sama sekali. Kata Aaron dalam rakaman video tersebut.

Twitch telah mengeluarkan video itu pada petang Ahad, menggantikannya dengan mesej yang mengatakan bahawa saluran itu melanggar garis panduan platform. Ia adalah satu-satunya video yang disiarkan ke akaun itu, yang mempunyai bendera Palestin sebagai imej pengepalanya.

Mutakkhir ini, protes terhadap Israel telah berlaku hampir setiap hari di seluruh negara sejak Israel memulakan serangan ketenteraannya di Gaza selepas serangan Hamas 7 Oktober yang membunuh sekurang-kurangnya 1,200 orang, menurut pegawai Israel.

Ketika ini, sudah lebih 29,000 orang awam telah terbunuh dalam perang di Gaza, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Ketika seruan antarabangsa untuk gencatan senjata telah berkembang dan krisis kemanusiaan di Gaza semakin mendalam, Kedutaan Israel telah menjadi subjek protes yang kadangkala mengakibatkan penangkapan – tetapi jarang berlaku keganasan.

Disember lalu, seorang penunjuk perasaan membakar diri di hadapan konsulat Israel di Atlanta dalam apa yang dikatakan polis sebagai “kemungkinan tindakan protes politik yang melampau.” – The New York Times

Facebook
Twitter
WhatsApp