TERKINI

Terengganu, Kedah, Kelantan Antara Negeri Rekod Pendapatan Isi Rumah Terendah

Gambar hiasan – foto Portal Berita RTM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2023 – Tiga negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) adalah antara sembilan negeri yang mencatatkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional, kata pakar ekonomi.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata, enam lagi negeri termasuklah Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, dan Perak.

Katanya, kesemua negeri itu didiami kira-kira 49 peratus rakyat negara ini menunjukkan jurang pendapatan semakin melebar serta membimbangkan, berbanding dengan lima negeri lain yang mencatat pertumbuhan lebih tinggi.

Lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka dilabel sebagai ‘lokomotif’ ekonomi negara kerana merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan yang lebih tinggi daripada purata penengah isi rumah negara.

“Data pendapatan mengikut tahun juga menunjukkan jurang yang semakin melebar. Jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan bulan lalu, menunjukkan pendapatan penengah isi rumah di Malaysia ketika ini adalah RM6,338, manakala purata pendapatan isi rumah pula adalah RM8,479.

Katanya, jurang pertumbuhan dan pendapatan antara lima negeri pendahulu atau dilabel sebagai negeri lokomotif, dengan sembilan negeri terkebelakang itu adalah sangat membimbangkan.

“Perancangan pembangunan khusus negeri sangat diperlukan, belanjawan tahunan negeri sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Katanya lagi, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga disumbangkan lima negeri tersebut, yangenurutnua berada dalam zon pertumbuhan dan pendapatan tinggi. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp