TERKINI

Tiada Lagi Pencen MP, Masukkan Dalam KWSP – Cadang Pakar ekonomi

Muhammed Abdul Khalid – foto The Malaysian Reserve

KUALA LUMPUR, 21 Sept 2023 – Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid mencadangkan semua menteri dan ahli Parlimen tidak lagi diberikan pencen seperti mana mereka peroleh sekarang.

Menurutnya, mereka harus ‘diajar’ dan merasai kesempitan hidup dilalui rakyat yang sering kali meluahkan rasa terkesan dengan kos sara hidup.

Muhammed turut mencadangkan menteri dan Ahli Parlimen dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sama seperti orang lain.

Cadangan itu disuarakan beliau ketika berucap pada Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) National Affairs Conference di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Selain itu, beliau turut berpendapat polisi pengeluaran KWSP yang dilaksanakan sebelum ini merupakan “kesilapan terbesar negara sejak merdeka”.

Tegasnya, tiada negara dalam dunia membenarkan pengeluaran sebegitu dan ia menyebabkan ramai mengalami kesukaran hidup.

“Pengeluaran KWSP adalah kesilapan terbesar yang pernah negara ini, menteri kita lakukan sejak merdeka. Dasar terburuk yang pernah ada.

“Malaysia mengeluarkan RM150 bilion. Siapa yang mengeluarkan wang itu? Golongan miskin. Simpanan B40 turun 70 peratus. Simpanan T20 pula meningkat kepada lapan peratus.

“Anda membawa krisis persaraan kepada waktu sekarang. Satu dalam dua rakyat Malaysia yang akan bersara sekarang hanya mempunyai RM10,000.

“Maknanya mereka ada RM200 untuk hidup (selepas bersara hingga umur purata rakyat Malaysia),” katanya.

Tegas beliau, polisi negara yang menyumbang kepada peningkatan tahap kemiskinan dalam negara malah memanjangkan lagi masalah tersebut.

Facebook
Twitter
WhatsApp