KUALA LUMPUR, 26 Feb 2024 – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa penurunan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Ammar Abd Ghapar adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Isham menjelaskan, beliau dimaklumkan bahawa tidak ada proses pendengaran dibuat ke atas Ammar sebelum diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.
Sebaliknya, dakwa beliau lagi Ammar hanya diberikan notis beberapa hari untuk mengosongkan jawatan.
“Menteri kata kononnya Ketua Pengarah tidak ‘perform’.
“Namun alasan tidak ‘perform’ ini tidaklah termasuk dalam pengecualian hak untuk didengar dalam proses pemecatan atau penurunan pangkat penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan King Sing semalam yang memaklumkan Ammar tidak dipecat sebaliknya diturunkan pangkat kepada Timbalan Pengarah kerana kemerosotan prestasi, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.
Mengulas lanjut, Isham berkata menteri tidak boleh memecat atau menurunkan pangkat seseorang penjawat awam sesuka hati.
Ujarnya, dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan bahawa penjawat awam perlu diberi peluang untuk didengar sebelum dibuang kerja atau diturunkan pangkat kecuali dalam kes jenayah, pendengaran tidak munasabah untuk dibuat, keselamatan negara, dan penahanan atau pengusiran negeri.
Isham turut memetik Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyatakan: “Jika seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan kelakuan yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu.”
Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan: “Jika pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuas hati bahawa kerana sesuatu sebab, yang hendaklah direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak fasal ini tidaklah semunasabahnya dapat dilaksanakan.”
Dalam masa sama, Isham menasihatkan menteri-menteri agar membaca Perlembagaan dengan betul, dan tidak bertindak sesuka hati.
Astro AWANI semalam melaporkan, King Sing ketika ditanya berhubung isu Ammar yang didakwa dipecat turut menyebut nama Manoharan Periasamy, yang difahamkan akan menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Tourism yang baharu.
Jelas King Sing, pelantikan Manoharan tidak boleh dikaitkan dengan isu perkauman kerana ia dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Ammar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini.
Penamatan itu berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan. – Awani