TERKINI

Tiada Siapa Terkecuali Dari Undang-undang, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu diberikan ruang pengadilan di mahkamah selepas beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan beransur hasutan di mahkamah pagi tadi, kata peguam.

Wan Azlina Wan Adnan berkata, sehubungan itu, beliau mengharapkan perbicaraan perlu berjalan tanpa gangguan pihak luar.

“Menteri Besar Kedah juga telah membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

“Oleh itu, sekarang biarlah perbicaraan berjalan tanpa gangguan luar, dan hakim Mlmahkamah akan membuat keputusan samada ucapan atau kenyataan yang dibuat itu berunsur hasutan seperti yang diperuntukkan oleh seksyen tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Sanusi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Azliana turut menyentuh isu berkaitan ucapan pengerusi DAP yang dilaporkan oleh media malaysianow yang memetik Lim sebagai berkata bahawa ‘Gelombang Hijau’ akan mengakibatkan kuil kaum lain dimusnahkan.

“Siasatan yang telus dan segera harus dijalankan ke atas Lim Guan Eng.

“Pada 9 Julai Polis telah mulakan siasatan, namun sehingga kini tiada apa-apa maklumat terkini samada Lim Guan Eng akan didakwa atau kes akan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

Akta Hasutan 1948 katanya mampu menangani dan mengawal keadaan negara daripada huru-hara akibat kenyataan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang boleh mencetuskan kebencian dalam masyarakat.

“Walaubagaimanapun, sesetengah pihak janganlah menyalahgunakan Akta Hasutan tersebut untuk tujuan tertentu atau sebagai alat politik,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan, tiada pihak yang boleh melepaskan diri daripada undang-undang.

“Tiada orang yang terkecuali dari undang-undang, undang-undang perlu adil dan dilihat adil kepada semua rakyat.

“Rakyat sedang menilai,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp