TERKINI

Tindakan Azam Baki Tidak Profesional – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2023 – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak seharusnya menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi berkaitan siasatan kes melibatkan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut mempertikaikan tindakan berkenaan yang menurutnya adalah tidak profesional memandangkan Muhyiddin adalah musuh politiknya.

“Saya nak tanya Azam apakah SOP tugasan beliau harus lapor dan maklum pada PMX secara terus menerus atau SPRM kena bekerja secara telus serta bebas?

“Kenapa Azam harus menelefon PMX khususnya mengenai kes siasatan yang melibatkan musuh politiknya?,” kata Khairuddin, merujuk kepada Anwar, dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar, dalam satu ceramah kempen di Negeri Sembilan yang mendedahkan beliau dihubungi Azam untuk memaklumkan berkenaan Muhammad Adlan Berhan, yang mungkir janji untuk pulang ke tanah air selepas dibenarkan keluar negara atas urusan tertentu.

Anwar berkata, Azam yang menghubunginya ketika sedang dalam perjalanan ke Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, maklumkan kes melibatkan menantu Muhyiddin adalah kes besar.

Sehubungan itu, Khairuddin mendakwa, tindakan Azam menunjukkan dia bukan seorang yang profesional.

“Sebab itu saya kata Azam Baki seorang Ketua pesuruhjaya SPRM yang tidak layak memimpin SPRM.

“Nampak sangat Azam Baki tidak profesional serta ‘kaki bodek’ PMX!” tegas Khairuddin.

Beliau turut menggesa agar badan anti rasuah itu segera dirombak dan tidak dibenarkan jadikan ejen kerajaan untuk menekan mana-mana individu secara salah

“Sesungguhnya, SPRM harus dirombak semula dan Ketua Pesuruhjaya SPRM harus ditukar secara kadar segera.

“Jangan jadikan SPRM sebagai instrumen untuk mana-mana kerajaan masakini menggunakan badan ini bagi menganiayai atau menekan mana-mana pihak secara tidak adil.

“Badan SPRM ini juga jangan dijadikan sebagai ejen untuk mengenakan mana-mana musuh politik bagi pihak pemimpin-pemimpin kerajaan masakini,” kata Khairuddin lagi.

SPRM memaklumkan mereka sedang memburu Adlan dan seorang lagi individu bernama Mansoor Saat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan dalam projek biometrik pekerja asing. – malayasialy.com

Facebook
Twitter
WhatsApp