TERKINI

Tindakan Ke Atas Sanusi Keterlaluan – Tun Mahathir

Foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kontroversi berkaitan sejarah Pulau Pinang dan Kedah, adalah keterlaluan.

Dalam satu hantaran status di media sosial twitter, Mahathir berkata berdasarkan sejarah, Sultan Kedah ketika itu berkenan supaya Syarikat Hindia Timur Inggeris mengambil alih Pulau Pinang dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun.

“Kemudiannya, ia ditambah dengan sebidang tanah besar yang bertentangan dengan pulau itu membabitkan harga 4,000 dolar Sepanyol setahun.

“Melalui perjanjian itu, ia memerlukan syarikat British membantu dalam pertahanan Kedah sekiranya diserang oleh negara asing. Kita tahu bahawa British gagal untuk menghormati kata-kata mereka,” katanya.

Mahathir juga mengulas bahawa perjanjian berkenaan penyerahan Singapura adalah berbeza. Ia jelas merupakan jualan secara terus. British membuat bayaran sekali sahaja sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong.

“Perlu diingat bahawa Sultan Ali, Sultan pada masa itu tidak menandatangani apa-apa perjanjian. Beliau dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam di Singapura. Kemurahan hati ini tidak disertai dengan pengiktirafan British terhadap Ali sebagai Sultan.

Terdahulu di parlimen semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa polis memulakan siasatan terhadap Muhammad Sanusi susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, sebahagian daripada laporan polis sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pertimbangan, jika pemimpin itu wajar dikenakan tindakan undang-undang, sekali gus didakwa di mahkamah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp