KOTA BHARU, 24 Mei 24 – Program Business to Business (B2B) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan menerusi agensi pelancongan negeri dilihat memberi impak positif kepada kedatangan pelancong ke negeri ini bersempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Nor berkata setakat ini program B2B berkenaan melibatkan kerjasama di antara agensi pelancongan Kelantan dengan lebih 50 agensi pelancongan di seluruh negara.
Beliau berkata jalinan kerjasama itu memberi impak positif apabila Kelantan menerima rombongan pelancong dari luar negara hampir setiap minggu termasuk dari Kuwait, Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain negara.
“Kedatangan pelancong ke negeri ini secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada industri pelancongan negara khususnya melalui pembangunan ekonomi hiliran dan kreatif,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
“Kami juga sedang mempergiatkan mempromosikan Kelantan di pintu-pintu utama di lapangan terbang antarabangsa di seluruh negeri dan berhasrat agar dapat menarik lebih ramai pelancong termasuk dari luar Kelantan,” tambahnya.
Kamaruddin berkata pelbagai aktiviti akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, antaranya himpunan Volkswagen Antarabangsa yang akan diadakan di Tumpat bermula hari ini sehingga Ahad ini selain Pesta Wau Antarabangsa pada 27 dan 29 Jun di Pantai Geting, Tumpat.
“Pelbagai aktiviti menarik telah diatur hingga hujung tahun ini bersempena TMK2024 antaranya Karnival Masakan Resipi Istana di Istana Jahar pada bulan Disember nanti.
“Diharapkan dengan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan ini ia dapat mengangkat seni dan kebudayaan Kelantan sekali gus negeri mencapai kejayaan sasaran seramai 10 juta pelancong ke negeri ini bersempena TMK2024,” katanya. – Bernama