TERKINI

Tun M Dan Presiden PAS Mahu Melayu Terus Bersama PN – Khairuddin

Gambar hiasan – foto sekretariat proklamasi orang melayu

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2023 – Orang Melayu perlu terus bersama memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan gabungan itu merupakan bank undi bagi komuniti tersebut, kata Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau berkata, ia adalah antara intipati pertemuan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediamannya, baru-baru ini.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman itu, mereka bersetuju PN perlu bersikap lebih terbuka untuk membolehkan mereka turut diterima oleh pengundi bukan Melayu.

“Dalam perjumpaan tersebut juga dibincang mengenai peranan semua orang-orang Melayu untuk terus memperkuatkan PN kerana ‘Malay votes bank’ kini bersama PN.

“Semua pihak beranggapan untuk terus memperkemaskan serta menguatkan PN di samping PN juga harus lebih bersikap terbuka dan bersifat ‘inklusif’ bagi mempamerkan semangat penyatuan Melayu secara lebih besar mahupun menyeluruh,” katanya, dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos nanti, parti politik Melayu, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Melayu perlu berusaha menarik sokongan semua lapisan pengundi.

“Konklusi perjumpaan tersebut adalah untuk menarik semua parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu untuk bersama menyokong PN seterusnya menarik para pengundi Melayu dan bukan Melayu bagi menyokong PN dalam menghadapi PRN akan datang.

“Tokoh-tokoh pemimpin ini menyatakan kepimpinan Melayu yang kuat juga memunafaatkan kepentingan kaum-kaum lain kerana sejarah telah membuktikan bahawa kepimpinan Melayu amat adil pada keseluruhan bangsa di negara kita.

“Dalam masa yang sama kedua-dua tokoh pemimpin ini menyatakan bangsa Melayu adalah kalangan yang baik
dan akan terus menghormati hak-hak kaum-kaum lain tanpa sesiapa pun harus mengganggu-gugat kedudukan kaum-kaum lain di tanahair kita,” kata Khairuddin.

Pertemuan selama satu jam itu antara lain berkisar pada penyatuan Melayu dan untuk mencari jalan ke arah bagi menyatupadukan semula orang-orang Melayu di luar konteks berpartian tetapi hanya tumpu kepada soal kepentingan bangsa.

Melalui pendekatan kepartian, sukar untuk menyatupadukan Melayu tetapi atas dasar ‘Melayu’ secara ‘non partisan’ lebih mudah untuk tujuan itu dicapai, katanya

Mahathir juga katanya beranggapan penyatuan Melayu mudah dicapai atas dasar bangsa Melayu dan beliau juga memohon semua pemimpin-pemimpin Melayu meletak ke tepi agenda kepentingan peribadi dan berpuak-puak secara berpartian.

“Mereka juga amat bersetuju untuk mencari satu formula secara mampan bagi menyatu-padukan semula orang-orang Melayu di samping bagi menwujudkan sebuah negara yang berjaya serta dihormati oleh seluruh dunia.

“Tumpuan juga harus difokus bagi menguatkan semula kedudukan Melayu di samping menjaminkan kesejahteraan hak-hak kaum-lain lain di negara kita.

“Apa pun kita mahu mewujudkan sebuah negara yang progresif, maju, berjaya dan keseluruhan rakyat hidup dalam rukun aman damai,” katanya.

Oleh yang demikian, kaum-kaum lain katanya juga tidak perlu mempercayai dengan dakyah-dakyah tidak berasas dan tohmahan kononnya ‘gelombang hijau’ merupakan ancaman kepada kaum mahupun agama lain.

“Berpuluh tahun PAS mentadbir kelantan sehingga kini tidak pernah menzalimi mana-mana kaum-kaum lain di negeri tersebut.

“Semua kaum dan agama lain begitu bebas dan sejahtera berada di negeri Kelantan,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp